HISTORY Con pertama kali di Malaysia
Rangkaian History Channel yang dimiliki A+E Networks Asia julung-julung kalinya bakal membawakan HISTORY Con 2017 yang berlangsung di Taman Ekspo Malaysia Serdang (MAEPS) bermula hari ini sehingga 6 Ogos.
Pelbagai acara menarik disediakan kepada pengunjung dalam konvensyen hiburan berskala mega ini, selain menampilkan ramai selebriti dalam dan luar negara.
Antaranya Harith Iskander dari Celebrity Car Wars dan hos Masterchef Australia, Matt Preston.
Selain itu, orang ramai terutamanya kaki lumba berpeluang menyaksikan persembahan kereta rally oleh pelumba handalan, Karamjit Singh.
Mereka juga bakal disajikan dengan aksi Jaime Dempsey, yang terkenal dengan kembara bermotornya dalam Ride N’ Seek HISTORY.
Manakala pencinta fotografi pula berpeluang meningkatkan kemahiran fotografi mereka dengan tip profesional daripada jurugambar profesional dan juri Photo Face-Off, Justin Mott.
Turut serta dalam HISTORY Con adalah Jasbir Kaur, antara tiga finalis akhir dalam Masterchef Asia yang bakal membuka restoran pertamanya di Kuching akhir bulan ini.
Sempena sambutan ulang tahun ke-10 HISTORY di Asia, sepuluh ikon Malaysia akan diiktiraf menerusi anugerah HISTORY Maker atas jasa dan sumbangan mereka.
Antara yang bakal menerima anugerah pada Ahad ini adalah tokoh akademik dan sejarawan, Prof Tan Sri Khoo Kay Kim, aktivis Marina Mahathir, kartunis Datuk Lat dan pemandu rally negara, Karamjit Singh.
Pagi tadi, Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk P Kamalanathan ketika merasmikan acara itu menyifatkan HISTORY Con sebagai platform untuk mendedahkan pelbagai aspek pengetahuan kepada para pelajar.
Kamalanathan turut menjemput penganjur merakam dokumentari mengenai pembangunan pendidikan di Malaysia.

