Miliki pistol: Salman Khan diikat jamin
Pelakon Bollywood, Salman Khan hadir di mahkamah seksyen daerah Johdpur atas tuduhan memiliki senjata api selepas dia dibebaskan daripada kesalahan itu Januari lalu.
Peguam Salman, Hastimal Saraswat memberitahu media, pelakon popular itu dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak Rs20,000, pada Jumaat.
“Tiada soalan dan jawapan kecuali ikat jamin yang harus dikemukakan.
"Mahkamah meminta kami mendepositkan wang ikat jamin Rs20,000 hari ini. Tetapi tertuduh tidak diwajibkan hadir,” kata peguam berkenaan.
Mahkamah menetapkan 5 Oktober depan sebagai tarikh baru bagi mendengar kes tersebut.
Terdahulu, Salman dibebaskan daripada tuduhan itu pada 18 Januari lalu akibat kekurangan bukti.
Bagaimanapun, dia sekali lagi dihadapkan ke mahkamah selepas pihak pendakwaan merayu keputusan terbabit.
Pelakon itu didakwa pada Oktober 1998 atas tuduhan memiliki senjata tidak berlesen, sepucuk rifle dan revolver bagi memburu rusa hitam di sebuah kampung di Jodhpur.
Kesalahan itu dikatakan berlaku sewaktu dia menjalani penggambaran filem arahan Sooraj Barjatya, Hum Saath Saath Hain pada tahun yang sama.
Ketika itu, Salman didakwa menyertai ekspedisi menembak bersama aktor Saif Ali Khan dan Neelam Sonali Bendre, serta berjaya membunuh dua ekor rusa di kampung berkenaan.
Ekoran tunjuk perasaan diadakan oleh masyarakat Bishnoi, kes difailkan ke atas Salman termasuk aktor lain.

