Yuna selamat bertunang dengan Adam
Selepas pelbagai spekulasi bertebaran mengenai pertunangan Yuna Zarai sejak beberapa bulan lalu, akhirnya khabar angin itu benar-benar menjadi realiti pada hari ini.
Penyanyi yang sedang meningkat namanya di persada antarabangsa itu mengikat tali pertunangan dengan Adam Yousof Sinclair di kediaman keluarga Yuna di Shah Alam.
Majlis berkenaan dihadiri hanya oleh keluarga terdekat dan sahabat rapat sahaja.
Yuna memang seorang yang tidak gemar bercerita mengenai perkara peribadi. Hubungan dengan Adam selama ini kekal tersimpan rapi dan sebarang berita yang timbul tidak pernah disahkan sendiri oleh penyanyi itu.
Terdahulu, pengguna media sosial sudah mula menghidu pertunangan itu dan mula mengucapkan tahniah sebaik Yuna memuat naik sekeping gambar sewaktu kecil di atas pelamin.
Sejarah Yuna dan adik kepada aktor Ashraf Sinclair itu bermula pada 2013 sebagai kawan biasa.
Ketika itu, Adam bekerja sebagai seorang pengarah di set rakaman untuk iklan televisyen. Pada 2015 hubungan mereka semakin rapat dan mula melakukan perancangan untuk ke fasa perkahwinan. Rancangan untuk bertunang itu bermula selepas upacara merisik diadakan pada 27 Mac lalu.
Yuna dalam satu kenyataan berkongsi perasaannya dengan mengucapkan terima kasih kepada peminat yang sering mendoakan kebahagiaan dia dan pasangannya.
“Syukur Alhamdulillah, majlis pertunangan kami berjalan dengan lancar. Majlis kami dihadiri oleh keluarga terdekat dan rakan-rakan karib.
“Kami sekeluarga sangat gembira dapat berjumpa dan bermesra dengan seluruh keluarga Adam.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat-peminat yang selalu mendoakan kebahagiaan saya. Berkat doa mereka, hari ini saya selamat bertunang dengan Adam Sinclair,” katanya.
Manakala komen Yuna mengenai Adam: “Ini merupakan saat yang sangat manis bagi saya kerana ini langkah pertama kami untuk hidup bersama dan saya sangat bersyukur berjumpa dengan seorang yang sangat penyayang dan baik hati seperti Adam.”
Katanya lagi, setiap peristiwa yang ditentukan Allah mempunyai hikmah terutama apabila dia ditemukan dengan seseorang yang mencorakkan hidupnya.
“Percaturan Allah itu memang sungguh indah, Adam merupakan rakan karib saya, dan sepanjang perkenalan kami dia telah mewarnai hidup saya dan buat saya senyum dan ketawa, saya gembira akan bergelar isteri kepadanya satu hari nanti, Inshaa-Allah,” katanya.

