Pelakon Robert Pattinson berjaya mengagumkan aktivis hak haiwan selepas enggan menurut arahan pengarah untuk melakonkan babak seks terhadap seekor anjing dalam filem terbarunya.

Pelakon yang namanya popular menerusi filem Twilight itu mendedahkan perkara berkenaan ketika dia diundang menghadiri rancangan TV Jimmy Kimmel Live!

Sewaktu ditemuramah Jimmy, Pattinson berkongsi cerita dia menolak untuk melakukan adegan seks terhadap seekor anjing dalam Good Time hingga mendapat perhatian PETA - sebuah organisasi yang memperjuangkan hak haiwan.

Naib Presiden PETA Lisa Lange dalam satu kenyataan kepada E! News kemudian meluahkan betapa mereka menghargai sikap dipamerkan Pattinson terhadap umum.

Lisa berkata badan itu menolak sebarang keganasan terhadap haiwan termasuklah menggunakan kekerasan seksual.

“Robert Pattinson adalah lelaki yang baik kerana enggan melakukan perbuatan seks kepada seekor anjing - yang dianggap seperti mencabul kanak-kanak - dan bercerita mengenai perkara itu kepada umum," katanya.

Kenyataan itu turut termasuk: “PETA kini sedang menyiasat sama ada undang-undang telah dilanggar untuk tujuan berkenaan".

Bagaimanapun, selepas pengarah Good Time menerima kecaman, Pattinson kemudian menjelaskan kisah itu hanyalah gurauan semata-mata.

Malah dia juga tidak menyangka perkara itu akan menjadi tidak terkawal.

"Hal itu sebenarnya cumalah gurauan. Tak ada siapa akan sangka sesuatu macam tu boleh berlaku di set penggambaran Good Time. Kami semua pencinta haiwan dan tak akan buat perkara yang boleh cederakan binatang.

“Semua yang terbabit dalam Good Time semuanya profesional. Saya malu kerana hanya mahu buat Jimmy ketawa, tapi menyebabkan kekeliruan dan tanggapan salah,” katanya.