Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Semangat patriotik yang pudar - kalau tidak kena caranya - sukar untuk dikembalikan sekelip mata. Malah bagi Aizat Amdan, dia sedikit pun tidak teruja untuk menyambut hari kemerdekaan yang bakal menjelang akhir bulan ini.

Kalau dulu penyanyi itu seorang yang bersemangat dan mempunyai ghairah setiap kali sambutan kemerdekaan, tetapi dia kini seakan lesu dan tidak bermaya. Mengapa demikian?

Apabila ditanya puncanya, Aizat menjawab ringkas: segala-galanya tidak kena pada masa.

“Semangat hendak sambut merdeka dah lama hilang. Saya rasa ini bukan masanya untuk jadi patriotik.

“Hal itu disebabkan perkara negatif mengenai negara kita banyak diperkatakan oleh negara luar,” katanya kepada Malaysiakini ketika ditemui di pejabatnya, Lokalab, Kota Damansara baru-baru ini.

Bagaimanapun, Aizat atau nama penuhnya Muhammad Aizat Amdan, 28, enggan menjelaskan secara terperinci apakah isu berkenaan sehingga menyebabkan dia cenderung berfikiran begitu.

Namun, masih ada sinar di mata penyanyi Hanya Kau Yang Mampu itu. Dia mahu memanfaatkan apa yang berlaku dari segi positif.

“Itu adalah peluang yang kita boleh gunakan untuk memperbaiki keadaan negara kita,” katanya.

Kekesalan Aizat terhadap keadaan semasa mencetuskan kerunsingan. Dia beranggapan, ketika ini adalah lebih baik digerakkan kempen menanam semangat kecintaan benar-benar mendalam kepada negara.

Macam lagu Ella

Aizat juga percaya, mustahil untuk memaksa seseorang menjadi patriotik jika ada keadaan dalam negara gagal ditangani dengan berkesan.

“Mungkin kena buat pembaharuan, adakan kempen seperti be strong.

"Maksudnya walaupun orang luar kata macam-macam mengenai kita, kita kena lebih kuat. Itu lebih sesuai,” katanya.

Pemenang Anugerah Industri Muzik ke-16 itu pada masa sama tidak menolak untuk menghasilkan lagu yang mampu merangsang motivasi serta perasaan semangat patriotik di jiwa pendengar.

Cuma katanya, lagu kenegaraan yang boleh memupuk jiwa pendengar itu perlu dihasilkan kena pada masa.

Aizat berkata demikian sambil memberi contoh Standing In The Eyes of the World dinyanyikan Ratu Rock Negara, Ella.

“Lagu berkenaan dicipta sempena Malaysia dilantik sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 1998.

“Lagu yang sungguh bermakna itu dihasilkan untuk menaikkan semangat dalam kalangan atlet dan rakyat negara ini.

“Itulah yang dimaksudkan dengan kena pada masa,” katanya.

Malaysia bakal menyambut hari kebangsaan ke-60 tahun ini dengan tema Negaraku Sehati Sejiwa. Sambutan akan diadakan pada 31 Ogos ini di Dataran Merdeka.

Lihat Komen
ADS