Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan

Saat ditawarkan lagu Buta, vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat terdetik mahu menolaknya walaupun dia digandingkan dengan Faizal Tahir.

Alasan Azmi saat itu adalah dia bimbang disalah faham atau dipandang serong terutama oleh insan yang senasib dengannya.

“Perkataan buta sering digunakan apabila kami (Caliph Buskers) bergaul dengan orang lain. Namun, tajuk itu boleh mengakibatkan golongan kurang upaya yang tidak biasa dengan situasi itu mudah terasa hati,” katanya.

Azmi atau nama penuhnya Khairul Azmi Mohd Saat, 29, ditemui pada majlis pelancaran Buta di Damansara Perdana, Selangor semalam.

Turut hadir empat lagi anggota, Nirwan Zainalabidin, Fendy, Zaki dan Rubiana. Bagaimanapun, Faizal Tahir tidak dapat menghadirkan diri atas sebab-sebab tertentu.

Mengulas lanjut mengenai lirik lagu berkenaan, Azmi berkata, hatinya sebak hingga mengalirkan air mata sebaik mendengar lagu itu buat kali pertama.

Kata Azmi, Buta membuatnya terharu kerana seolah-olah menceritakan pengalamanya sebagai insan kurang upaya dalam dunia penuh cabaran.

“Macam lahir dari hati sendiri walaupun bukan saya yang buat lagu itu. Jangan buta hati, itulah mesej yang hendak disampaikan dalam lagu berkenaan.

“Saya berharap lagu itu dapat memberi motivasi kepada individu yang mengalami nasib sama agar mereka tidak berputus asa dan berdoa untuk kehidupan lebih sempurna,” katanya.

Mudah bekerjasama

Untuk makluman, meskipun lagu hasil ciptaan Faizal bersama dua komposer lain, Ezra Kong dan Mike Chan itu menggunakan judul Buta, tiada satu pun perkataan itu digunakan dalam liriknya.

Pengarah Urusan Braille Kuala Lumpur, Datuk Mah Hassan Omar diundang untuk menyumbangkan khidmatnya bagi menyempurnakan pembuatan lirik video itu yang kini boleh ditonton di YouTube.

Sementara itu, Mike berkata, pihaknya sudah lama mengimpikan untuk menerbitkan lagu untuk Caliph Buskers setelah menyedari bakat istimewa dimiliki setiap anggota berkenaan.

“Amat mudah bekerjasama dengan Caliph Buskers kerana semuanya profesional, mereka boleh menyanyi dan bermain alat muzik dengan baik.

“Kami tidak mengalami masalah semasa menghasilkan lagu Buta, malah beranggapan itu adalah rakaman terbaik pernah dilakukan sepanjang tahun ini,” katanya sambil tersenyum puas.

Lihat Komen
ADS