Paling Popular
Terkini

SENI LUKIS |  "Apabila orang tengok lukisan abstrak, semua kata anak dia boleh buat kalau setakat conteng-conteng, tapi dia tak buat pun…”
-Sukairi Shahri-

Karya tanwujud seperti yang dihasilkan oleh Sukairi Shahri selalunya akan mengundang perbahasan.

Dalam kelompok pengamal sendiri pun, masih ada yang mempertikaikan karya sebegini. Ada yang mengelarnya sebagai karya pelarian (escapism) yakni sebagai satu cara mengelak daripada menghasilkan karya cantik/realis oleh pelukis yang tidak mahir.

Apatah lagi kepada ‘orang luar’ atau khalayak umum. Biasanya masyarakat akan merasa tidak memahami karya-karya mujarad sebegini dan tentu bukan salah sesiapa apabila hal ini berlaku.

Ianya memerlukan suatu pembelajaran yang agak mengambil masa.

Melalui pameran Basic, Sukairi secara tidak sedar cuba memahamkan semua orang tentang asas menghasilkan karya yang tidak mempunyai rujukan persamaan dalam proses menghasilkannya.

Mungkin kerana itu juga karya-karya begini digelar karya khayali.

Karya dengan judul Circulation menjadi contoh menarik dalam memahami perjalanan pameran Basic ini. Ianya tampak begitu mudah dengan warna yang minimal disertakan dengan sebuah bulatan yang dihasilkan melalui renjisan.

Ianya nampak sangat mudah untuk dihasilkan dan memang itu pun yang mahu diceritakan oleh Sukairi apabila karyanya dikatakan boleh dihasilkan oleh kanak-kanak.

Tetapi kanak-kanak tidak mungkin dapat merancang warna. Di sini beza antara matang dan tidak.

Triangle juga membawa mesej yang sama dan diikuti oleh empat karya multi warna dengan judul Together

Dalam kumpulan karya Together Sukairi mula dilihat merancang dengan teliti warna-warna yang digunakan di samping mula ‘menyusun’ dan ‘membahagi’ petak-petak yang diwarnai dengan warna-warna yang manis.

Ini satu kumpulan karya yang selalunya disenangi walaupun tidak difahami. Karya Together adalah karya yang ‘cantik’ dan kerana itu walaupun ianya tidak difahami, ia cepat memikat.

Basic diakhiri dengan Damage, Greenpeace, dan Ocean. Tiga karya ini sangat minimal dalam persembahannya.

Secara umum ia hanya menggunakan satu warna namun jika diperhatikan, sebenarnya lukisan itu mengunakan beberapa warna yang diharmonikan agar terlihat seperti satu.

Apabla ditanya apa yang mahu digambarkan dalam semua karya dipameran ini, Sukairi mengatakan, selain memperlihatkan betapa kerja keras diperlukan untuk menghasilkan karya yang kelihatan ringas dan mudah, ia juga mengambarkan kehidupan.

"Dari kelahiran kepada kematian," katanya.

Pameran solo Sukairi, Basic, diadakan di 90 Degrees Cafe & Art di Jalan Air Putih Kuantan, Pahang mulai 15 Ogos hingga 15 September ini.


ABDULLAHJONES ialah pelukis dan penulis sepenuh masa di Kuantan.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS