Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Hati Chef Wan terusik dek 'lintah darat' di Felda
Diterbitkan:  Aug 22, 2017 6:21 AM
Dikemaskini: 11:10 AM

Pagi ini tukang masak terkenal Chef Wan memberitahu air matanya menitis selepas membaca laporan demi laporan mengenai skandal melanda agensi kerajaan, Felda.

Chef Wan atau nama penuhnya Datuk Redzuawan Ismail, 59, juga sempat mengenang kembali kepayahannya membesar sebagai anak peneroka dengan pendapatan ibu bapa yang tidak lumayan.

“Pengalaman pahit getir hidup sebagai anak peneroka selama ini, jika saya cerita satu persatu, pasti ramai yang akan menangis bersama-sama di pagi ini.

“Apa yang berlaku mengecewakan kita. Apabila saya terkenangkan balik kesukaran ibu bapa saya bekerja sebagai peneroka Felda di negara ini, sejujur jujurnya hati saya menangis pagi ini," katanya.

Menurut Chef Wan, punca hatinya terusik ialah mengenangkan ada pihak tertentu yang mengkhianati peneroka Felda.

“Saya berasa kecewa orang sebegini telah mengkhianati kita. Harapkan pegar, pegar makan padi,” tulisnya dalam akaun Instagram.

Benci meluap-luap

Pada status berkenaan, Chef Wan turut berkongsi keratan akhbar melaporkan mengenai penahanan bekas pengerusi Felda dan Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV), Tan Sri Isa Abdul Samad.

Isa ditahan reman selama lima hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel oleh anak syarikat Felda, Felda Investment Corp (FIC) di London dan Sabah.

Dokumen dan siasatan awal SPRM mendapati hotel itu dibeli lebih tinggi daripada harga sebenar pasaran.

Untuk rekod setakat ini Isa belum didakwa di mana-mana mahkamah.

Semakan Malaysiakini petang ini mendapati status chef Wan itu mendapat lebih 4,00 like dan lebih 400 komen pengikutnya.

Perasaan benci, kata Chef Wan, semakin meluap-luap apabila terdapat sesetengah ahli politik dan individu mempunyai kedudukan tertinggi menyalahgunakan kuasa mereka.

Hidup bermuka-muka

Katanya, individu yang berbuat salah pasti akan mendapat balasan setimpal dan tidak mengabil kira sebesar mana pun jawatan yang disandang.

“Setinggi-tinggi tupai melompat akhirnya Allah telanjangkan mereka-mereka ini sehingga malu seisi keluarga hari ini.

"Ini semua disebabkan ketamakan sesetengah ahli politik.

“Mereka ini seumpama lintah darat yang menghisap darah peneroka selama ini yang bersusah-payah mencari rezeki untuk keluar dari kemiskinan hidup.

“Sangat sedih dan kecewa rasa di hati ini. Segala usaha yang kami lalui semata-mata untuk melihat manusia yang tamak begini menipu di siang hari,” katanya.

Chef Wan turut mempersoalkan keperibadian seseorang umat Islam yang pada mata kasarnya sering dilihat tidak tinggal mengerjakan amalan ibadah.

Katanya, Muslim yang hidup bermuka-muka semakin hari semakin bertambah dan pelaku dosa ini wajar menerima balasan segera di dunia.

“Orang Islam apakah yang solat lima waktu, menunaikan umrah dan haji serta bersyarah di khalayak ramai tetapi sebenarnya bertopengkan syaitan?

“Adakah ini kegembiraan yang seseorang perlu kejar dalam hidup dengan memanipulasi dan menipu orang lain?

“Terlalu ramai orang seperti kamu di luar sana... Ingat ini semua hanya menunggu masa kerana kamu akan bertemu Allah untuk semua ini. Jika tidak di akhirat nanti, di atas dunia ini Allah itu akan bayar tunai!” tulisnya.

Lihat Komen
ADS