Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Didesak oleh keadaan, penyanyi lagu ketuhanan Hafiz Hamidun hari ini mengadakan sidang media bagi menjelaskan pertikaian berhubung konflik rumah tangganya yang didakwa tidak sah.

Kata Hafiz, ketika dia menikahi Joy Revfa atau Siti Arifah Mohd Amin, wanita itu masih mempunyai ikatan dengan bekas suami pertama.

Malah akui Hafiz, selepas dia bernikah dengan usahawan kosmetik itu pada 1 Mei lalu, mereka tidak pernah mengadakan hubungan kelamin.

“Saya tidak pernah menyentuh dia kerana berasa ragu sejak hari pertama perkahwinan dan bagi mengelak masalah kemudian hari kami tinggal berasingan.

“Pada awal, pernikahan diteruskan setelah pihak Pejabat Agama Daerah Petaling berpuas hati dengan pernyataan daripada pihak Joy bahawa penceraiannya dengan suami sebelum ini telah berlaku.

“Pernikahan antara saya dan Joy dilangsungkan dengan akujanji Joy untuk memberikan surat perakuan cerai perkahwinan terdahulu selepas majlis akad nikah,” katanya yang ditemui pada sidang media di Arteffects, Damasara Perdana, hari ini.

Semalam, Joy memfailkan permohonan pembubaran nikah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam atas alasan tindakan Hafiz meragui perkahwinan mereka mendorongnya berbuat demikan.

Joy sebelum ini bernikah dengan Mohd Rayos Abdul Rahim (Mohd. Rayos) di Wilayah Songkhla, Thailand pada 10 Januari 2013.

Pernikahan ini disahkan oleh Mohd Nasir Awang, Konsul di Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla pada 11 Januari 2013.

Bagaimanapun perkahwinan tersebut tidak didaftarkan di Malaysia dan ini diakui sendiri oleh Joy.

Dibawa ke pejabat agama

Menurut Hafiz, dia pada setiap masa menggesa Joy menunjukkan dokumen perceraian dengan suami terdahulu tetapi sering tidak berhasil.

“Saya pada setiap masa mengarahkan Joy menyelesaikan hal surat perakuan cerai dengan bekas suaminya. Tetapi Joy tetap tidak menyelesaikan masalah sehinggalah beberapa hari sebelum pernikahan.

“Oleh kerana kami gagal mendapat surat cerai dan disebabkan keraguan yang timbul, saya dan Joy ke Songkhla 1 Jun lalu bagi menguruskan cerai taklik antara dia dan bekas suami di pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla," katanya.

Tambahnya, permohonan cerai taklik Joy dan bekas suaminya diterima oleh Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla dan disahkan jatuh talak satu pada 13 Julai 2017.

“Pada 8 Ogos 2017 saya dan Joy ke Pejabat Agama Islam Daerah Petaling untuk menyerahkan surat cerai taklik tersebut dan menjalani siasatan bersama pegawai tadbir agama daerah.

“Hasil siasatan mendapati bahawa Joy masih dalam ikatan perkahwinan dengan suami terdahulu sewaktu pernikahan kami berlangsung 1 Mei lalu,” katanya.

Lihat Komen
ADS