Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Selepas bercerai, Serina Redzuawan kini menumpukan sepenuh perhatian terhadap bidang perniagaan termasuk menjual pakaian dalam wanita.

Anak tukang masak terkenal Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail itu menjelaskan, pakaian dalam dijual bukan sembarangan tetapi khusus untuk membantu mengelak penyakit kanser payudara.

Katanya, penggunaan pakaian dalam tidak bersesuaian boleh mengakibatkan ramai wanita terdedah kepada salah satu penyakit utama yang meragut nyawa itu.

“Ramai wanita tidak mengetahui atau kurang memahami jenis pakaian dalam yang sesuai untuk mereka gunakan.

“Punca wanita boleh terkena kanser payudara antaranya disebabkan besi dan span yang terdapat pada pakaian dalam.

"Pakaian dalam dari China ini ada teknologi nano yang boleh mencegah kanser,” katanya.

Selain itu, turut selalu ada dalam fikiran Serina ketika ini adalah perancangan untuk mengembangkan perniagaan char kuetiau yang lama diusahakannya.

Buat sendiri tanggung sendiri

Katanya, jenama char kuetiau itu akan dimanfaatkan demi menggalakkan usahawan baru yang berminat membuka perniagaan.

Serina ditemui pada majlis pratonton filem Malay Regiment di Mutiara Damanara, Selangor malam tadi.

Menerusi perkembangan itu, boleh diagak apakah yang sentiasa ada dalam fikiran Serina.

Ibu tunggal beranak dua itu hanyalah mahu menumpukan melalui setiap titis keringat yang mengalir.

Serina disahkan bercerai dengan suaminya Salahuddin Ghaffar atau Gavin Edward O'Luanaigh di Mahkamah Rendah Daerah Petaling pada 1 Ogos lalu.

Kegigihan Serina sebenarnya dicontohi daripada sikap ibunya yang turut melalui pengalaman sebagai ibu tunggal.

Walaupun begitu, Serina berkata, ibunya gigih meneruskan perniagaan tanpa mengenal erti penat lelah.

“Anak kepada jutawan bukan tiket untuk bergoyang-kaki kerana yang kaya adalah bapa bukannya saya. Saya tidak gemar meminta-minta wang kepada bapa sejak dari kecil.

“Apa akan jadi jika mengharapkan duit bapa sekiranya perniagaan dilanda masalah nanti, pasti saya akan dipersalahkan.

“Saya tidak mahu begitu. Biarlah saya buat semua sendiri dan risiko juga ditanggung sendiri,” katanya.

Ditanya sama ada perniagaan itu memalukan atau menjejaskan imej dia sebagai pelakon, Serina dengan tegas menafikannya.

“Tidak, saya orang yang boleh melakukan pelbagai tugas,” katanya.

Lihat Komen
ADS