Mufti nasihati selebriti jaga aib rumah tangga
Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri menasihati masyarakat khususnya golongan selebriti supaya tidak menguar-uarkan kisah rumah tangga mereka terutama di media sosial.
Dalam artikel bertajuk “Bayan Linnas Siri ke-109 : Isu Perceraian Selebriti : Jagalah Adab-Adabnya”, Zulkifli memberikan huraian panjang lebar mengenai adab menjaga kisah rumah tangga dan isu mengenai penceraian.
Beliau turut menasihati sesuatu pasangan agar memelihara hubungan perkahwinan dengan cara yang baik dan membubarkannya juga dengan cara yang baik.
"Ini jelas seperti mana maksud ayat dalam Surah al-Baqarah, “Talaq (yang dapat dirujuki) dua kali. Setelah itu boleh rujuk lagi dengan cara yang ma'ruf atau menceraikan dengan cara yang baik.”
Dalam artikel panjang lebar itu, Zulkifli menjelaskan isu talak dalam Islam, definisinya, pensyariatan dan firman Allah di dalam al Quran, As-Sunnah, ijma dan hikmah pensyariatannya.
Tanpa menamakan sesiapa, Zulkifli berkata pihaknya pada awalnya enggan mengulas kes melibatkan individu kerana berpendapat ia hanya akan membuka aib dan tidak menyelesaikan masalah mereka.
Namun katanya, apabila budaya itu semakin buruk hingga masyarakat memperkatakan kisah rumah tangga orang lain, pihaknya terpanggil untuk menjelaskan adab yang harus dijaga dalam isu melibatkan penceraian.
Nasihat pada para wartawan
Baru-baru ini, media tempatan melaporkan secara meluas isu pergolakan rumah tangga antara penyanyi lagu ketuhanan, Hafiz Hamidun dan isterinya, Joy Refva atau nama sebenarnya, Siti Arifah Mohd Amin.
Selasa lalu, Joy memfailkan permohonan pembubaran nikah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam atas alasan tindakan Hafiz meragui perkahwinan mereka mendorongnya berbuat demikan.
Sementara itu, Zulkifli menasihati golongan wartawan dan penulis blog supaya menghindari perkara yang boleh membuka aib sesuatu pasangan.
"Elakkan mengapi-api dan mensensasikan suasana kerana ini merupakan keaiban seorang Muslim.
"Berpeganglah dengan fiqh al-tabayyun untuk mendapatkan berita yang sahih daripada badan berautoriti yakni mahkamah. Elakkan menulis sangkaan-sangkaan yang tidak pasti dan elakkan menyuburkan kebencian," katanya.
Bagi masyarakat awam pula, Zulkifli menasihati mereka dengan perkara sama dan mengelakkan diri daripada memberi komen di media sosial dengan tidak berdasarkan ilmu dan sangkaan semata-mata.
"Semoga dengan pesanan-pesanan di atas dapat menghentikan budaya fitnah dan mengumpat yang melanda, memperbaiki hubungan kekeluargaan dan penyelesaian yang menenangkan dapat diperolehi dalam kalangan pihak yang bertelingkah. InsyaAllah," katanya.

