Shira sokong Ijoy saman
Pelakon dan pengacara, Sharifah Shahirah menyokong tindakan suaminya, Ijoy memfailkan saman terhadap stesen televisyen Alhijrah, baru-baru ini.
Malah, Shahirah atau lebih mesra disapa Shira juga tidak kisah sekiranya digam stesen tv berkenaan kerana percaya rezeki ada di mana-mana.
"Saya tidak terfikir langsung soal nama akan digam atau tidak. Namun sekiranya perkara itu berlaku kepada saya, tidak mengapa.
"Bagi saya rezeki ada di mana-mana. Jadi saya tak perlu takut pun. Kalau mereka tak nak tawarkan saya pekerjaan, saya okey saja.
"Ada sebab kenapa dia berbuat sedemikian. Orang kata berani kerana benar," katanya kepada Harian Metro.
Sebagai seorang isteri, Shira berkata dia tetap mempertahankan tindakan suaminya memfailkan saman untuk menuntut hak atas kerja yang sudah dijalankan sebelum ini.
"Suami hanya menuntut haknya. Adakah itu salah?
"Disebabkan sudah tidak ada cara lain, jadi suami mengambil keputusan membawa perkara ini ke peringkat undang-undang. Suami bukannya suka-suka nak saman," katanya.
Khamis lalu, syarikat penggambaran M A Pictures Sdn Bhd milik Ijoy memfailkan saman terhadap syarikat penyiaran televisyen AlHijrah Media Corporation (AlHijrah) menuntut pembayaran kerja produksi yang tertunggak berjumlah RM265,600.
Tuntutan Ijoy itu membabitkan pembayaran rakaman program bual bicara 26 episod bertajuk Maqasid Syariah - PNB yang dijalankan pada 29 Oktober 2015.

