Belajar daripada sejarah, kekalutan elok dielakkan.

Justeru untuk menjauhkan kontroversi berulang kembali, Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) mengambil langkah baru kali ini.

Pengumuman mengenai lima calon terbaik bagi setiap kategori hanya akan dibuat pada malam anugerah itu berlangsung pada 23 September nanti.

Menurut Pengerusi Finas, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, keputusan berkenaan dirasakan menjadi kaedah paling sesuai untuk menangani masalah yang mungkin timbul.

“Finas cuba mengelak kontroversi dan polemik yang akan membabitkan perpaduan negara serta pelbagai isu berbangkit,” katanya seperti dilapor Utusan Online.

Selain daripada itu, Finas juga berharap lebih ramai penggiat seni perfileman terbabit dan menghadirkan diri dalam acara berkenaan.

Finas menerima 42 pencalonan tahun ini dengan 30 filem berbahasa Melayu, tujuh filem bahasa Mandarin dan lima bahasa Tamil.

Antara filem disenaraikan untuk dipertimbangkan ialah Hanyut, Pekak, Interchange, Redha, Rock Bro, Kau Yang Satu, Lebuhraya Ke Neraka, Adiwiraku dan You Mean The World To Me.

Penjurian akan diadakan secara berperingkat bermula pada 4 hingga 11 September bagi penghakiman awal. Manakala 12 hingga 19 September untuk penjurian akhir.

Kelainan pada acara kali ini adalah Finas lebih menjurus kepada program pembangunan modal insan berkaitan industri filem.

Tahun lalu, FFM ke-28 menjadi perbualan ramai apabila penganjur mengasingkan pencalonan antara filem berbahasa kebangsaan dan bukan berbahasa kebangsaan.

Ekoran syarat diletakkan, beberapa filem tidak dapat merebut anugerah ditawarkan, termasuk filem terbaik dan pengarah terbaik.

Bagaimanapun, selaras dengan keputusan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Finas kemudian memansuhkan tiga kategori filem dan mewujudkan kategori Filem Terbaik Bahasa Kebangsaan atau turut disebut sebagai Anugerah Filem Terbaik Nasional.