Kekesalan penyanyi Hafiz Hamidun tidak dapat dibendung lagi, dan kini dia memberikan amaran keras terhadap isterinya Joy Revfa agar lebih serius selepas memfailkan permohonan faraq nikah (perpisahan sementara) di mahkamah.

Hafiz mengingatkan Joy atau nama sebenarnya Siti Arifah Mohd Amin agar berhenti bersikap acuh tak acuh dalam menyelesaikan krisis rumah tangga mereka.

“Ikutkan perkara ini boleh diselesaikan secara baik, tetapi bila pihak dia yang meneruskan permohonan ini di mahkamah dan buat sidang akhbar saya akur.

“Sebab itu saya beri amaran kepada dirinya agar tidak main-main dengan saya,” katanya seperti dipetik Utusan Online, hari ini.

Hafiz mendakwa sikap main-main isterinya membuatkan dirinya dirundung masalah bertali arus dan menjadikan kes itu semakin sukar diselesaikan secara aman.

“Perkara ini sudah menyebabkan banyak masalah yang timbul. Tetapi saya positif, jangan risau,” katanya di perkarangan Mahkamah Syariah Alam Shah.

Pada 22 Ogos lalu, Hafiz berkata dia meragui perkahwinannya dengan Joy selepas siasatan pejabat agama mendapati wanita itu masih mempunyai ikatan dengan suami terdahulu.

Malah dia mengakui sejak berkahwin dengan usahawan kosmetik itu, mereka tidak pernah mengadakan hubungan kelamin.

Hafiz berkata demikian pada sidang media sehari selepas Joy memfailkan permohonan pembubaran nikah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam.

'Perkahwinan kami sah'

Selepas kisah perceraian mereka saban hari memenuhi dada media, Hafiz merasakan lebih baik agar ia dibicarakan secara terbuka di mahkamah kerana ia sudah tidak boleh disembunyikan daripada pengetahuan umum.

Malah, katanya, ia boleh dijadikan iktibar oleh orang ramai.

“Tidak ada perkara yang mahu diselindungkan. Pada masa sama masyarakat boleh belajar mengenai isu syariah ini," katanya.

Sementara itu, Joy pula masih seperti dirinya dan kekal dengan pendirian perkahwinan yang dibina pada 1 Mei lalu adalah sah.

“Saya yakin perkahwinan ini sah,” katanya ringkas.

Hakim Syarie, Muhamad Hisyam Zakaria, menetapkan 9 November depan untuk sebutan semula kes.