Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Menteri nafi kaitan dengan Boy Iman
Diterbitkan:  Sep 21, 2017 7:13 PM
Dikemaskini: 12:51 PM

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Noh Omar menafikan pembabitannya dengan skim perumahan DBI Properties yang dianjurkan pelakon Datuk Boy Iman.

Dalam satu kenyataan hari ini, Noh berkata beliau terkejut apabila namanya dikaitkan dengan skim berkenaan.

"Saya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan skim ini ataupun mana-mana individu atau syarikat yang terlibat dengan model perniagaan seperti ini," katanya.

Isu projek perumahan murah yang diperkenalkan Boy Iman menjadi kontroversi apabila orang ramai membuat laporan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) selepas mendakwa ditipu.

Sebelum ini, laman popular di Facebook PW Community mendakwa DBI menipu orang ramai berhubung pembelian rumah dengan menggunakan helah menerusi skim piramid.

Boy Iman bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan turut membuat laporan polis terhadap laman Facebook berkenaan kerana mendakwa memfitnahnya.

Sementara itu Noh turut menafikan beliau mengiktiraf skim berkenaan selepas tersebar rakaman beliau memberikan ucapan pada majlis yang dianjurkan pelakon itu pada Hari Raya lalu.

"Video yang dimuatnaik adalah majlis jamuan Hari Raya yang saya hadiri dan bukan program rasmi. Sebelum balik saya telah diminta oleh Datuk Boy Iman untuk merasmikan ibu pejabat DBI Properties dan diminta untuk memberi ucapan.

"Untuk makluman semua skim perumahan DBI Properties ini tidak ada kaitan dengan KPKT kerana skim perumahan ini tidak dilesenkan dibawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1996 atau dikenali dengan Akta 118.

"Skim seperti ini tidak melindungi hak pembeli dan urusan penjualan juga tidak terjamin," kata Noh.

Beliau turut menasihatkan semua pihak yang terlibat menyelesaikan perkara itu mengikut proses undang-undang.

"Saya percaya pasti ada perjanjian atau kontrak telah dibuat di antara pembeli dan syarikat DBI Properties atau membuat laporan kepada polis dan KPDNKK.

"Saya juga telah mengarahkan supaya Jabatan Perumahan Negara mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

 

Lihat Komen
ADS