Paramount Pictures dan Bad Robot pengarah serta penerbit terkenal Hollywood, J J Abrams, berjaya memperoleh hak cipta untuk mengadaptasi filem animasi blokbuster Jepun, Your Name.

Kedua-dua syarikat berkenaan turut mengumumkan akan menjalankan kolaborasi dengan penerbit asal animasi terbabit, Toho Co Ltd bagi menghasilkan versi baru lakonan hidup Your Name.

Toho juga akan menguruskan aspek pengedaran filem itu di Jepun.

Abrams, Lindsey Weber dan Genki Kawamura bakal menjalin kerjasama di bawah produksi Bad Robot. Sementara Eric Heisserer yang menerima pencalonan anugerah Akademi bagi filem Arrival menggalas tanggungjawab untuk menulis lakon layar Your Name.

Filem animasi digemari ramai itu ditulis, diilham dan diarahkan Makoto Shinkai. Ia mengisahkan kehidupan seorang budak lelaki dan perempuan yang berasal dari dua dunia berbeza.

Selepas menyedari mereka mempunyai kebolehan menyerap ke dalam tubuh satu sama lain kedua-dua remaja terbabit mencari jalan untuk merentas ruang dan waktu untuk bertemu.

Pegawai Eksekutif Toho Yoshishige Shimatani berkata mereka teruja untuk bekerjasama dengan pasukan Hollywood dan menghasilkan versi lakonan hidup filem ikonik Jepun berkenaan.

Abrams seorang penerbit yang terkenal dengan pembabitannya dalam menghasilkan filem seperti Star Wars, Star Trek, Mission Impossible dan Cloverfield.

Abrams turut mengarah Star Wars: The Force Awakens selain diumumkan menggantikan Colin Trevorrow bagi Star Wars: Episod IX pada 12 September lalu

Kata Kawamura segala yang berlaku “bagaikan mimpi.”

“Abrams dan pasukannya berjaya memukau penonton dengan hasil kreativiti mereka. Mitsuha dan Taki pula menemui pengulas cerita yang bagus untuk melakar kisah romantik fiksyen sains mereka iaitu Eric.

“Setakat ini hasil perbincangan berjaya meransang idea bernas dan tidak mustahil ia akan menjadikan filem itu sebuah naskhah yang hebat.

“Saya amat bangga dapat bekerja dengan pencipta mengagumkan untuk membawa penonton secara dekat versi Your Name dalam bentuk lakonan hidup gaya Hollywood,” katanya seperti dilapor The Variety.

Your Name berjaya meraih kutipan AS$303 juta di Jepun dan kekal selama 12 minggu di kedudukan paling tinggi box office.

Ia juga filem Jepun yang ditayang di China memperoleh pendapatan tertinggi AS$85.6 juta.