Personaliti dan hos televisyen popular Datuk Mahadzir Lokman telah dipindahkan ke wad biasa Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan keadaannya kini stabil.

Menurut adik beliau Danial, abangnya itu dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi ke wad biasa hari ini dan Mahadzir dijangka menjalani rawatan seminggu lagi sebelum doktor boleh mengesahkan beliau cukup sihat untuk dibenarkan pulang.

“Beliau bersemangat tinggi sejak semalam dan boleh berkomunikasi dengan pelawat,” kata Danial kepada Bernama.

Terdahulu, Danial berkata abangnya tidak lagi bergantung kepada alat bantuan pernafasan, semakin peka dan boleh bercakap walaupun masih lemah.

Sementara itu dalam gambar yang dikongsi oleh adiknya, Mahadzir yang sentiasa ceria dan mesra, memakai baju-T hitam lengan panjang, kelihatan sihat dan bersemangat sambil mengukir senyuman menawan, menunjukkan tanda ‘bagus’ semasa berbaring di katil hospital.

Pada 24 Sept, Mahadzir, 60, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan dimasukkan ke ICU di PPUM selepas anggota keluarga menemuinya dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum itu. -Bernama