Dikaitkan dengan aksi ranjang dalam rakaman yang dimuat naik di media sosial sejak Julai lalu, Eyka Farhana membuat laporan polis bagi membersihkan namanya.

Pelakon berusia 22 tahun itu berkata, laporan itu dibuat kerana dia mengambil serius perkara itu yang membabitkan maruah diri dan keluarganya.

“Eyka tidak pernah main-main dengan perkara membabitkan maruah. Orang mungkin nampak perkara ini remeh malah ada yang mempersendakan.

“Maruah Eyka dan keluarga adalah perkara yang sangat Eyka junjung. Kepada mereka yang menularkan video lucah dan menggunakan nama Eyka, anda kini dalam pemerhatian polis,” katanya menerusi Instagram malam tadi.

Eyka sebelum ini menafikan wanita di dalam video berkenaan adalah dirinya malah menegaskan dia masih waras dan tidak akan sesekali beraksi dalam video lucah.

Laporan dibuat di Balai Polis Ampang Jumaat lalu. Perkara itu turut diadukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi berkata lagi, dia mahu pihak tidak bertanggungjawab yang mengaitkan dirinya dengan video lucah itu ditahan segera dan dikenakan hukuman sewajarnya.

“Eyka benar-benar mahu orang yang tidak bertanggungjawab melakukan perkara terkutuk ini menerima hukuman sewajarnya.

“Mungkin sebelum ini mereka terlepas tetapi Eyka benar-benar berharap pihak @pdrm_official dapat menahan si pelaku agar ia menjadi pengajaran supaya tidak mengaibkan orang lain terutama wanita sewenang-wenangnya," katanya.

Selain itu, pelakon yang menempa nama menerusi filem Juvana itu turut meminta polis menyiasat akaun pengguna media sosial yang mendakwa memiliki bukti menyatakan wanita dalam video itu adalah dirinya.

"Begitu juga kepada netizen yang menghantar mesej berkata ada bukti. Walaupun anda sudah memadamkan mesej terbabit Eyka sempat 'screenshot' dan menyerahkan kepada pihak polis,” katanya lagi.