Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Belanjawan 2018: Artis mahu suara mereka didengari

Menjelang pembentangan Belanjawan 2017 Jumaat ini, penggiat seni antara pihak yang tidak mahu diabaikan atau dianggap seperti tidak penting dalam pembangunan negara.

Hakikatnya, penggiat seni di negara ini ingin keluh-kesah mereka didengari, selain diberi hak sama rata atas usaha keras selama ini bagi menyemarakkan industri tanah air.

Pengarah teater dan drama Lokman Ghani berkata dia berharap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dapat memberi insentif lebih baik untuk perkembangan seni teater semasa membentangkan Belanjawan 2017 nanti.

Katanya, peruntukan itu boleh disalurkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat untuk membangunkan teater tempatan.

“Itu harapan besar saya. Kerajaan wajar memberi bajet kepada NGO yang benar-benar jujur untuk bergiat aktif dalam teater. Mereka macam pengemis sampai sekarang.

“Pihak di luar sana mempertikai dan anggap kemampuan mereka tidak memuaskan. Kalau tidak bagi duit macam mana mereka nak berjaya?

“Jika tidak suruh mereka aktif, bagaimana nak tahu mereka bagus atau tidak?” katanya kepada Malaysiakini.

Lokman turut menggesa peruntukan sama rata diberikan untuk anak seni di semua bidang, sama ada muzik, filem, drama mahupun teater.

Pada masa sama, Lokman turut meluahkan kekecewaanya apabila ada segelintir pihak beranggapan seni teater sering meraih pulangan tidak menguntungkan berbanding filem.

“Saya sedih kerana dari dulu lagi memang tidak ada satu kos besar pun untuk mengangkat martabat seni persembahan teater.

“Sedangkan kalau dilihat pada negara di sekeliling kita, kerajaan mereka sanggup beri dana untuk syarikat korporat bagi membantu membangunkan teater sebagai sebuah industri.

“Kenapa perkara ini tidak berlaku di Malaysia? Mungkin mereka anggap seni teater tidak boleh pergi jauh seperti perfileman yang boleh dipertontonkan hingga ke persada antarabangsa,” katanya.

Kurang jati diri

Pengarah dan pelakon Aziz M Osman pula menggesa setiap dana perfileman disampaikan melalui saluran yang betul dan menggunakan kaedah pengagihan yang tepat.

Aziz beranggapan, sebelum ini ada dana sampai ke 'tangan' yang salah sedangkan ia sepatutnya diberi kepada pengarah yang benar-benar mahu melaksanakan projek dengan berjaya.

Namun ia tidak berlaku kerana pihak yang terbabit tidak dapat menyediakan kertas kerja yang cukup mengagumkan seperti dibuat 'tangan' yang dimaksudkannya itu.

“Saya berharap cara dana diberi kerajaan menerusi Finas dapat diperbaiki. Penilaian perlu dibuat bukan berdasarkan siapa lebih pandai buat kertas kerja atau bijak berkata-kata.

“Saya lihat ramai pengarah berbakat dan mampu menghasilkan karya lebih kreatif kecundang hanya disebabkan gagal memenangi hati Finas.

“Akhirnya yang diberi peluang itu lebih banyak datang dari golongan yang pandai menjadi penglipur lara saja,” katanya.

Aziz turut mencadangkan belanjawan kali ini ditumpukan kepada program-program yang boleh membentuk jati diri masyarakat khususnya generasi muda.

Katanya, dari situ, negara mampu mendidik dan meningkatkan semangat patriotisme yang dilihat kini semakin pupus.

“Biasanya kita hanya menumpukan soal akademik anak-anak seperti dapatkan markah tinggi A dalam peperiksaan, tetapi bab jati diri kurang diberi tumpuan.

“Saya harap dalam bajet kali ini atau akan datang kerajaan sediakan program yang dapat menguatkan jati diri generasi masa depan.

“Apabila jati diri tidak kuat, nak ajak tonton filem Melayu pun susah kerana selera mereka lebih bertumpu kepada filem Hollywood atau Korea,” katanya.

Rakyat rasa was-was

Sementara itu komposer Edry Abdul Halim berkata ‘pencerahan’ perlu diberikan kepada penggiat seni suara yang turut merasai bebanan dan keperitan apabila berada di era digital dan media sosial.

Katanya, berbanding lima atau 10 tahun lalu, artis kini sukar untuk bertumpu kepada penjualan album fizikal kerana perkembangan teknologi sangat pesat dan sikap pembeli yang gemar menggunakan khidmat di hujung jari.

“Pasaran dunia hiburan sudah semakin sempit dengan kewujudan media sosial dan era digital, semuanya percuma hingga menyebabkan artis terpaksa bergelut untuk mencari pendapatan stabil.

“Menambah kesukaran apabila terdapat longgokan artis semakin banyak, justeru kerajaan perlu menghulurkan dana untuk menggerakkan ekonomi dalam dunia hiburan,” katanya.

Sebagai rakyat Malaysia, Edry turut meluahkan keinginannya untuk melihat kerajaan mengusahakan dasar-dasar terbaik agar ekonomi negara dapat diperkukuhkan dan membuahkan hasil.

Justeru, katanya rakyat perlu disuntik dengan keyakinan tinggi bahawa ekonomi negara mampu menjadi baik supaya hasil kemewahan itu dapat dinikimati.

“Saya sendiri menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan ekonomi sekarang kerana pasaran yang kurang stabil.

“Rakyat lebih selesa menyimpan daripada berbelanja. Tambahan pula tiga tahun kebelakangan ini kita semua was-was apa nak jadi dengan pilihan raya.

“Saya juga terbabit bidang hartanah tapi sejak tiga tahun kebelakangan ini, tiada perkembangan memberangsangkan pun,” katanya.

Lihat Komen
ADS