Malaysiakini
SENI & HIBURAN

KL2017: Kami bukan bola boleh tendang sana sini, kata Zainal

Nadia Azam

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Okt 2017, 1:47 tengahari

KEMASKINI Seakan berkecil hati ada antara artis yang membuat persembahan semasa majlis penutup Sukan SEA 2017 (KL2017) lalu terasa tidak dipedulikan.

Menggambarkan keadaan itu seperti "bola" yang ditendang ke sana ke sini Datuk Zainal Abidin berkata mereka sudah melaksanakan tugas yang dipersetujui.

Katanya sebagai artis mereka memang biasanya tidak bergantung kepada satu sumber pendapatan saja namun setiap penat lelah yang dicurahkan, ia wajar dihargai mengikut perjanjian yang dimeterai.

Mendakwa menerima maklumat bahawa bukan beliau seorang yang masih belum dibayar penyanyi Ikhlas Tapi Jauh dan Hijau itu memberitahu kegagalan membuat bayaran bukan saja menjejaskan artis, malah pihak yang menguruskan majlis berkenaan.

"Bukan menteri saja nak kehidupan mewah, kami golongan artis juga mahu kehidupan yang baik," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam isu bayaran untuk artis yang membuat persembahan penutup Kuala Lumpur 2017 menjadi perhatian selepas pelakon, pengacara dan selebriti Adibah Noor membangkitkannya di media sosial.

Kata Adibah dia sedih mendengar keluhan rakan artisnya kerana belum menerima bayaran selepas persembahan - yang mendapat pujian ramai itu - berakhir.

"Alasan: sibuk dengan #Bajet2018. Segerakanlah," katanya di Twitter.

 

 

 

Bagaimanapun, Adibah menerusi Twitter kemudian mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan kerana "mendengar suara mereka dan telah memberikan respons".

Tanpa menjelaskan lebih lanjut, Adibah turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali kerana keprihatinan terhadap isu yang disuarakan.

Untuk rekod temasya dua tahun sekali itu berlangsung di Kuala Lumpur antara 19 Ogos hingga 30 Ogos.

Pada majlis penutup sejumlah penyanyi diundang membuat persembahan. Selain Zainal Abidin, penyanyi yang tampil ialah Ella, Amy Search, Datuk David Arumugam, Siti Nordiana, Faizal Tahir, Francissca Peter dan Hijjaz.

Malaysia mencatat kejayaan gemilang dengan pungutan 145 pingat emas, 92 perak dan 86 gangsa. Ia membolehkan negara ini menjadi juara keseluruhan mengatasi pencabar terdekat - Thailand - dengan perbezaan 73 pingat emas.

Menurut Zainal Abidin beliau dimaklumkan urusan bayaran kepada artis dikendalikan syarikat lain yang dilantik kerajaan.

Ramai mengadu belum dapat

Namun katanya faktor itu sepatutnya tidak menjadi alasan untuk artis terbabit terus tertunggu-tunggu bayaran yang dijanjikan.

Zainal juga memberitahu beliau sudah memaklumkan kepada peguamnya untuk mengambil langkah perlu ekoran isu berkenaan.

"Saya terpaksa sebab syarikat itu masih belum melunaskan bayaran.

"Kami bukan macam bola boleh ditendang ke sana ke mari," katanya.

Sementara itu Adibah yang dihubungi Malaysiakini hari ini memberitahu dia dimaklumkan mengenai isu berkenaan oleh seseorang yang terlibat secara langsung dalam persembahan berkenaan.

"Apabila saya berbicara mengenai hal ini dalam media sosial, ramai pula yang datang mengadu dan menyatakan mereka juga belum dapat.

"Mereka terdiri daripada golongan sukarelawan, penari dan kanak-kanak.

"Bagaimanapun, ada seorang dua rakan penghibur yang pun menerima bayaran masing-masing," katanya.

David tak risau

Sementara itu pengacara popular Datuk Azni Nawawi ketika dihubungi mengesahkan sudah mendapat bayaran yang dijanjikan.

"Alhamdulillah. Saya dah dapat bayaran sepenuhnya daripada penganjur," katanya.

David Arumugam yang juga vokalis Alleycats pula berkata bayaran itu belum diterima namun tidak risau dengan apa yang berlaku.

Katanya beliau ada menghubungi pihak terbabit baru-baru ini dan mereka mengesahkan akan membuat bayaran akhir bulan ini.

"Saya tak risau sebab sudah banyak kali bekerja dengan mereka. Saya percaya mereka," katanya.

Ratu rock Ella pula ketika dihubungi enggan mengulas lanjut.

Menjawab persoalan itu pegawai unit media dan komunikasi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (Masoc) Fahmi Omar menjelaskan sebuah syarikat dilantik untuk menguruskan majlis persembahan pembukaan dan penutup acara berkenaan.

Katanya ia adalah sebuah agensi yang dilantik melalui tender dengan Kementerian Belia dan Sukan.

"Justeru sama ada artis sudah mendapat bayaran atau tidak, ia adalah urusan syarikat berkenaan.

"Artis yang terlibat perlu merujuk kepada syarikat terbabit," katanya.

Menurut Fahmi lagi artis tidak boleh menyalahkan kerajaan kononnya tidak membuat bayaran kepada syarikat berkenaan.

Kata Fahmi, agensi yang dilantik menguruskan persembahan artis berurusan dengan syarikat yang diberi kontrak oleh kerajaan.

"Kalau ada pihak mendakwa Masoc tak membuat bayaran, hal ini perlu diperbetulkan kerana kontrak adalah antara syarikat yang diberi kontrak dengan agensi terbabit.

"Setakat ini Masoc sudah membayar lebih daripada 50 peratus nilai kontrak untuk persembahan pembukaan dan penutupan bagi pihak kerajaan," katanya.

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.

Komen

Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.