Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Aksi Aishah di GV hadir selepas dapat restu parti
Diterbitkan:  Oct 30, 2017 12:41 PM
Dikemaskini: 4:48 AM

Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak berhasrat mengubah Aishah, sebagai "ustazah segera" sebaliknya menghargai bakat yang ada pada penyanyi Janji Manismu itu.

Anggota Jawatankuasa Pusat AMANAH Hanipa Maidin berkata sebelum menyertai pertandingan Gegar Vaganza (GV) musim keempat - yang bermula malam tadi - Aishah ada meminta izin daripada parti berkenaan.

"AMANAH memberi restu. Aisyah ialah penyanyi, maka AMANAH tidak pernah berhasrat untuk turn over (mengubah) dia menjadi ustazah khususnya instantaneous ustazah (ustazah segera)," kata Hanipa hari ini.

AMANAH adalah parti baru yang ditubuhkan sekumpulan bekas anggota PAS selepas mereka diketepikan perwakilan dalam muktamar parti itu pada 2015.

Membawa aliran yang dilihat progresif dan sederhana, ia kelihatan berbeza dengan PAS yang lebih konservatif dalam pendekatan masing-masing.

Aishah memang seorang penyanyi terkenal sebelum menyertai PAS dan diturunkan menjadi calon parti itu semasa pilihan raya umum ke-13 lalu untuk kerusi Jempol.

Jangan hirau kata orang

Di situ Aishah mencabar bekas menteri besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad. Bagaimanapun Isa memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 8,629 undi.

Apabila AMANAH ditubuhkan Aishah menyertai parti berkenaan dan bergiat bersama pegerakan wanita pertubuhan itu.

Aishah terpilih menjadi seorang daripada 12 peserta GV musim keempat dan menjadi artis terakhir membuat persembahan malam tadi.

Kata Hanipa Aishah ternyata membuat persembahan memukau dengan lagu popularnya itu sehingga mendorong dua daripada tiga juri berdiri memberi tepukan.

Semasa konvesyen AMANAH di Alor Setar, Kedah baru-baru ini kata Hanipa, mereka sempat berbual dan mengucapkan selamat berjaya kepada penyanyi terbabit.

"Setakat yang saya kenal, Aishah ini seorang yang berpendidikan daripada keluarga yang juga ramai yang berpendidikan," katanya.

Justeru kata anggota parlimen Sepang itu Aishah boleh memberi sumbangan positif melalui bakatnya untuk masyarakat.

"Untuk Kak Aishah, jangan hirau apa orang kata, khususnya orang yang rasa mereka suci," katanya.

Selain Janji Manismu, Aishah juga dikenali dengan banyak lagu popular lain seperti Camar Yang Pulang, Pulanglah dan Ubekkan Denai.

Lihat Komen
ADS