Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Tombiruo tembusi Amerika Syarikat
Diterbitkan:  Nov 2, 2017 11:33 PM
Dikemaskini: 3:40 PM

Filem Tombiruo: Penunggu Rimba yang mencatat jualan memberangsangkan dengan kutipan lebih RM7 juta bakal menembusi pasaran antarabangsa pada acara Pasaran Filem Amerika (AFM).

Menurut Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar, selain itu Tombiruo turut dijangka memasuki pasaran Eropah tahun depan.

“Ini adalah kerjasama pertama Allience Media Partners (AMP) International Ltd dengan penerbit dari Malaysia di mana ejen terbabit cukup berpengaruh dalam pasaran antarabangsa.

“AMP bakal menjadi ejen kami untuk menjual filem Tombiruo di pelbagai negara selepas ini.

“AFM yang berlangsung di Santa Monica, California, Amerika Syarikat adalah acara pertama untuk filem ini dijual dan tahun depan ia akan dijual di Eropah pula,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Pemilihan karya arahan Seth Larney itu dipilih ejen penjualan filem antarabangsa AMP berdasarkan keunikan serta potensi pengarah itu yang pernah terbabit pembikinan filem seperti The Matrix Reloaded, Star Wars: Revenge of the Sith dan X-Mens Origins: Wolverine.

Naskhah adaptasi novel Ramlee Awang Murshid itu ditayangkan dalam tempoh 18 hari menerusi pawagam di seluruh tanah air termasuk Singapura dan Brunei.

Tombiruo : Penunggu Rimba yang mula ditayangkan sejak 12 Oktober,  memaparkan kisah Ejim yang digelar sebagai Tombiruo kerana dianggap sebagai penunggu rimba.

Lelaki yang sentiasa bertopeng itu disisihkan oleh penduduk kerana memiliki wajah bukan manusia.

Satu insiden tragis berlaku pada Tombiruo watak dilakonkan Zul Ariffin hingga menimbulkan kemarahan dan dendamnya.

Amiruddin (Farid Kamil) pula menganggap Tombiruo sebagai punca keperitan hidup keluarganya dan mula menjejaknya.

Pergelutan di antara mereka berlaku demi menegakkan kebenaran masing-masing.

Sementara itu menerusi sebuah kenyataan, Pengarah Jualan Global dan Pengambilalihan di AMP International, James Norrie menyatakan keterujaannya untuk berkolaborasi dengan penerbit bagi mengetengahkan Tombiruo.

“Pihak penerbit serta pengarah filem Tombiruo iaitu Seth Larney berjaya menghasilkan sebuah filem berbentuk ‘Asian Superhero’.

“Kami tidak sabar untuk memasarkan filem ini ke pasaran antarabangsa pula dan sekaligus membentuk kelompok peminatnya tersendiri” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS