Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Seni & Hiburan
Amir Ukays, Saari Amri bergandingan sekali lagi

Tanpa lagu ciptaan komposer Saari Amri, Ukays mungkin bukanlah apa-apa dan tidak 'meletup-letup' namanya pada 1990-an.

Saari ialah pencipta yang diburu ramai penerbit dan penyanyi ketika itu kerana sentuhannya yang jarang benar tidak berbisa.

Tapi selepas berdekad-dekad kedua-dua nama itu semakin dilupakan, sehinggalah bekas vokalis Ukays, Amir, mengumumkan untuk menghiburkan peminat melalui persembahan istimewa 1 Disember ini.

Untuk menjadikan acara itu lebih meriah Amir membawa Saari untuk bergandingan di atas pentas.

Kata Amir, penampilan istimewa itu dibuat sebagai penghargaan kepada Saari yang pernah selalu memberikan sentuhan berbisa dan menjadi watak penting di belakang Ukays.

“Saya masih di sini hingga hari ini. Semuanya disebabkan Saari yang menjadi insan bertanggungjawab atas kemunculan saya di persada seni tanah air," katanya.

Menurut Amir walaupun suatu ketika dulu selalu dimarahi Saari ketika merakamkan suara di studio, dia tetap bersabar kerana tahu apa yang dilalui itu adalah proses pembelajaran.

Pilih lagu sendiri saja

Dan ternyata langkah itu tepat kerana peminat mengenalinya hingga kini.

Disebabkan itu kata Amir sangat wajar dia membawa Saari menjadi sebahagian daripada persembahan Showcase Amir Ukays nanti. Di atas pentas Amir dan Saari akan berpasangan membawa lagu Kita Masih Sama.

Amir atau nama sebenarnya Mohd Azmir Muhammad Yusof, ditemui pada sidang media pengumuman Showcase Amir Ukays di Kuala Lumpur semalam.

Persembahan anjuran Restoran D’Saji Taman Tasik Titiwangsa dan Best FB KL Concerts dengan kerjasama Indera Management itu akan diadakan di restoran berkenaan mulai jam 8 malam.

Ukay asalnya ditubuhkan pada 1989 sebelum menjadi Ukays (dengan tambahan huruf 's' di akhirnya) ekoran kemasukan Amir daripada kumpulan Analisa.

Antara album mereka yang paling mendapat sambutan ialah Bisa Berbisa yang diterbitkan pada 1994.

Bagaimanapun kumpulan itu berpecah dan Amir membawa haluan sendiri selain mencipta nama baru bersama kumpulan U.K's. Mereka kemudian menghasilkan album Tajam Menikam pada 1995.

Hafal lagu hari-hari

Kali terakhir Amir membuat kemunculan utama ialah ketika menyertai Gegar Vaganza pada 2015.

Sementara itu Amir turut memaklumkan dia tidak mahu menyanyikan sebarang lagu orang lain untuk persembahannya nanti kerana percaya, selain bersifat malar segar, Ukays memiliki cukup banyak karya yang popular.

“Inilah peluang peminat mendengar kembali lagu-lagu Ukays selepas lebih 20 tahun berlalu,” katanya

Dalam persembahan yang terbahagi kepada dua segmen - termasuk secara satu akustika - itu, Amir akan menyampaikan 12 buah lagu yang pernah menjadi siulan ramai 23 tahun dulu.

Persembahan berkenaan dijadual berlangsung selama dua jam dengan diiringi pemuzik profesional. Antara lagu yang akan disampaikan ialah Seksa, Sebak, Siapa Yang Rampas Cintamu, Bila Diri Disayangi dan Di sana Menanti Di Sini Menunggu.

Berkongsikan mengenai persiapan menjelang persembahan yang bakal berlangsung kurang sebulan dari sekarang itu, Amir, 43, berkata dia berharap agar tidak terlupa lirik semasa menyanyi.

Amir berkata menghafal lirik antara cabaran paling besar perlu dihadapi seseorang penyanyi sepertinya, apatah lagi ia dibuat secara langsung.

“Hari-hari saya akan dengar lirik dan menghafalnya semula, tetapi saya yakin dengan latihan yang berterusan, tiada masalah. Insya-Allah saya boleh ingat,” katanya.

Lihat Komen
ADS