Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images

Kumpulan XPDC tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang sedang mensabotaj penyertaan mereka dalam konsert Public Distortion yang bakal diadakan 9 Disember ini.

Pemain dram Saiful Rizla Kamaruddin (gambar) atau lebih dikenali sebagai Lola memberi amaran itu khas buat individu yang didapati menghasut dan memburukkan nama kumpulan itu di media sosial sejak 30 September lalu.

"Kami dapati individu sama yang membuat segala tuduhan dan cuba mencemarkan reputasi konsert Public Distortion ini.

"Laporan polis sudah dibuat dan segala bukti telah kami kumpul," katanya ketika ditemui selepas sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Lola, 44 tahun, mendesak individu terbabit, yang tidak didedahkan identitinya, berhenti berbuat demikian jika tidak mahu diheret ke mahkamah.

Turut hadir adalah tiga lagi anggota XPDC iaitu Eddie, Ali dan Izo.

Public Distortion 2017 bakal menggabungkan kumpulan itu dengan sebuah lagi kumpulan rock, Prime Domestic, di Oasis Square, Petaling Jaya.

Prime Domestic ditubuhkan gitaris terkenal Abdul Zamin Abdul, atau lebih dikenali sebagai Joe, beberapa bulan lalu selepas keluar daripada kumpulan Wings.

Sidang media yang turut disertai ahli kumpulan Prime Domestic itu bertujuan mengumumkan Amy Search (gambar) sebagai artis undangan yang akan turut memeriahkan konsert itu.

Lola berkata lagi, setakat ini sudah lima laporan polis dibuat sejak November lalu terhadap individu tersebut.

Ia bermula sejak kali pertama XPDC menguar-uarkan Public Distortion 2017 pada 30 September lalu, katanya lagi.

"Ada pihak tidak berpuas hati apabila kami buat promosi dan kata tidak mahu sokong konsert itu nanti. Kenapa perlu berbuat demikian?

"Tidak mahu sokong tidak mengapa tetapi jangan cuba menjatuhkan semangat kami atau boikot Joe dan Prime Domestic," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS