Amir Ukays hampir membatalkan hasratnya bergandingan dengan Saari Amri di atas pentas pada persembahan Showcase Amir Ukays yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Namun, disebabkan kesungguhan dipamerkan komposer yang namanya melonjak pada era 1990-an itu, Amir berasa tidak wajar sama sekali rancangan asal dipinda.

Menurut Amir, mereka sama-sama saling menghargai dan Saari merupakan seorang penggubah lagu dan penulis lirik yang sememangnya sukar dicari ganti.

“Dia (Saari) punya bersemangat datang awal itu memang buat saya kagum. Malah dia juga yang sampai ke studio lebih awal apabila kami berjanji untuk praktis bersama-sama.

“Inilah nilai yang ada pada Saari, ibarat saya hargai dia dan dia juga menghargai saya. Susah nak cari seorang komposer yang bersungguh-sungguh macam ini,” kata pemilik nama penuh Mohd Azmir Muhammad Yusof itu.

Pada showcase yang berlangsung di Restoran D’ Saji Titiwangsa itu, Amir dan Saari berpasangan membawa lagu Kita Masih Sama.

Kata Amir sebelum ini, Saari atau nama sebenarnya Saari Jusuh, 50, itu diundang sebagai penampilan istimewa kerana dia menjadi watak penting di sebalik kejayaan Ukays.

Pada acara itu Amir, 44, memukau penonton dengan suara yang pernah mereka dengar puluhan tahun lalu melalui 15 lagu lain antaranya Seksa, Sebak, Sesak, Kau Satu Satunya, Siapa Yang Rampas Cintamu dan Send Me An Angel nyanyian asal oleh Scorpions.

“Saya berbangga kerana semua penonton tidak berganjak dari kerusi masing-masing sampai habis kerana ini adalah buat julung kalinya sejak 28 tahun saya mengadakan acara sebegini di Kuala Lumpur.

“Tidak pernah ada konsert yang seumpamanya kecuali di luar ibu kota. Semuanya disebabkan anggota Ukays saling silih berganti, sampai tidak keruan jadinya,” katanya.

Gandingan Amir dan Saari tidak akan terhenti di Showcase Amir Ukays begitu saja.

Menurut Amir, dia sudah membuat perancangan seterusnya sekali lagi dengan Saari untuk menerbitkan single terbaru yang dijangkakan menemui peminat tahun depan.

“Bagai dicincang air tidak akan putus, begitulah ibarat persaudaraan kami selamanya. Justeru, setiap ciptaan lagu dengan Saari pasti menjadi.

“Ramai juga peminat yang bertanyakan bilakah masanya akan kembali menghasilkan lagu bersama Saari lagi.

“Bukan tidak mahu mempercayai bakat komposer lain, tetapi biasanya peluang untuk hit dengan Saari lebih menyerlah. Bayangkan dalam satu album bukan hanya satu atau dua lagu yang hit, tetapi lima,” katanya.