Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan

Seseorang artis yang bersuara mengenai isu semasa di media sosial wajar dilayan dengan sama rata seperti orang lain dan bukannya dikecam.

Lebih penting jika persoalan yang dibangkitkan itu menyentuh rakyat secara keseluruhan, justeru ia mesti dijawab dengan fakta.

Pengarah dan pelakon Ahmad Idham berkata lebih menambah kekecewaan terutama sikap pejuang siber politik yang dilihat cenderung mencari kesalahan orang lain berbanding mencari jalan penyelesaian terbaik.

“Tidak pernah lagi ada artis yang yang membantai kerajaan setahu saya. Mereka hanya menyuarakan pandangan dan apa yang boleh dibuat adalah cari dan cuba selesaikan persoalan diberikan mereka itu saja.

“Tetapi datang kecaman daripada pejuang siber politik yang menidakkan hak mereka untuk bersuara. Ini adalah cara menangani isu dengan level mentaliti rendah. Saya benar-benar kecewa,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Kata Ahmad Idham, campur tangan pejuang siber politik sebenarnya hanya menambah keruh malah ia merosakkan silaturrahim antara rakyat dan pemimpin.

"Pemimpin menjadi mangsa benci rakyat apabila pejuang siber politik menghentam seseorang artis yang bersuara.

"Saya sendiri pernah berjumpa empat mata dengan pemimpin untuk meminta penjelasan mengenai sesuatu isu semasa dan jawapan mereka sebenarnya lebih menyenangkan," katanya.

Menurutnya, sepatutnya golongan selebriti dilihat diluar konteks kerjaya mereka iaitu seni dan hiburan.

"Jangan melihat mereka hanya sebagai artis saja tetapi lihatlah mereka sebagai rakyat negara ini. Mereka berhak bersuara.

Kos hidup tinggi, ringgit lemah

"Selebriti mempunyai jutaan pengikut dan kalau kami tanya soalan tidak boleh dijawab dengan penuh emosi kerana ia mungkin rangkuman kenyataan diperoleh daripada rakan atau peminat," katanya.

Seorang demi seorang selebriti tanah air tampil bersuara mengenai isu seputar dan ekonomi.

Kenyataan penyanyi popular Datuk Sheila Majid menarik perhatian pengguna alam maya apabila beliau mengeluh kos hidup tinggi dan nilai ringgit yang lemah di Twitter.

Kenyataan itu memberi tamparan kepada Umno kerana dibuat menjelang perhimpunan parti itu yang dibuat di ibu negara bermula hari ini.

Terdahulu, pelakon Fathia Latiff membela bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana kesal pengorbanan tokoh itu yang tidak dihargai.

Sementara itu, Presiden Persatuan Penerbit dan Televisyen Malaysia Datuk Jurey Latiff (gambar, atas) turut berpendapat yang sama seperti Ahmad Idham.

Katanya, adalah lebih mudah mencari kaedah untuk menjawab dengan fakta.

Malah katanya golongan artis berhak bersuara kerana hidup di negara yang mengamalkan demokrasi.

"Semua orang berhak suarakan pandangan asalkan mereka tidak menyebarkan fitnah.

"Apabila orang seni membangkitkan isu negara mengapa harus dihentam dan dikecam? Pandanglah dari sudut positif bukan negatif," katanya.

Menurutnya, berbalah adalah tindakan yang tidak akan berkesudahan dan sepatutnya di mana ada kekurangan di situ patut ditambah.

"Kita cuba cari cara untuk menjawab apa yang dipersoalkan dan itu adalah lebih baik daripada mengecam seseorang artis yang bersuara.

"Berbalah akan merebak. Ia tindakan yang tidak berkesudahan, sepatutnya kalau tak cukup bagilah maklumat dan kalau salah tolong betulkan kerana mereka tidak hentam khusus kepada sesiapa," katanya.
 

Lihat Komen
ADS