Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Adibah persoal persepsi artis hidup mewah, tidak beri sumbangan
Diterbitkan:  Dec 8, 2017 2:13 PM
Dikemaskini: 6:33 AM

Polemik antara ahli politik dan golongan artis yang bersuara mengenai kos sara hidup yang tinggi diteruskan lagi dengan kenyataan terbaru Adibah Noor hari ini.

Adibah melalui akaun Twitter menyindir pihak yang tidak senang terhadap artis yang tampil berkongsi keluhan berkenaan kos sara hidup.

Penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu turut mempersoal persepsi pihak tertentu yang menganggap artis hidup mewah dan tidak beri sumbangan apa-apa kepada negara.

Jelas Adibah, ramai artis yang bekerja sendiri (freelance) dan pendapatan mereka tidak menentu.

“Artis ramai yang freelance, bukan makan gaji tetap bulan-bulan. Tak ada KWSP, Socso, insurans. Kerjanya bermusim, ada time lebat, ada time diari kosong-sekosong-kosongnya.

“Pandai-pandailah dia nak uruskan kewangan dia,” katanya.

Menurut Adibah lagi, artis yang mendapat bayaran yang tinggi perlu membayar cukai pendapatan yang tinggi maka tidak wajar jika dikatakan tidak menyumbang kepada negara.

“Itu belum sumbangan lain lagi... tak yah citer (cerita) ler macam mana deme yang kome kutuk tu kome guna untuk mintak sumbangan kalau ada nak buat projek amal ke, jual meja ke, jaja ke sana ke mari ke untuk kempen ke... Tak yah citer la,” katanya.

Semalam, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah mempersoalkan kapasiti Datuk Sheila Majid sebagai artis yang bercakap tentang kos sara hidup tinggi.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan itu berkata Sheila keliru antara kos sara hidup dan gaya hidup serta mempersoal pendapatan Sheila sebagai artis.

Pembantu khas isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor turut mengkritik ratu Jazz negara itu dengan mempersoalkan penjualan tiket konsert Sheila.

Menurut Rizal, sekiranya benar ekonomi dalam keadaan teruk, tiket konsert Sheila yang berharga RM888 sekeping tidak akan habis terjual.

Sementara itu, Adibah semalam turut mempersoal pihak tertentu yang melabel artis sebagai propembangkang apabila menyatakan pendapat yang dilihat cenderung mengkritik dasar kerajaan.

Polemik antara artis dan ahli politik menjadi hangat selepas Sheila sebelum ini membuat kenyataan berhubung kos sara hidup tinggi dan kecewa dengan pihak tertentu yang tidak “menumpukan tugas membawa negara kembali ke landasan yang betul”.

Kenyataan Sheila itu telah mewujudkan pelbagai reaksi dan maklum balas daripada ahli politik dan artis.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memuji artis yang berani tampil bersuara, sementara pengacara Azwan Ali mengecam kenyataan Sheila. 

Lihat Komen
ADS