'Rocker pemalu' besar hati dilayan artis senior
Menganggap dirinya sebagai rocker pemalu, vokalis Prime Domestic, Aweera, tidak menyangka dia tetap dilayan dengan baik oleh artis yang lebih senior semasa mereka bersiap-siap menjayakan konsert Public Distortion.
Konsert yang menghimpunkan Prime Domestic, Amy Search dan XPDC itu dijadual berlangsung di Oasis Square, Damansara esok.
Kata Aweera, dia memang agak pemalu lebih-lebih lagi berdepan dengan penyanyi serta pemuzik yang sudah lama bergelumang dalam dunia rock tanah air.
Namun katanya perasaan itu hilang sedikit demi sedikit apabila artis senior seperti Joe bekas gitaris Wings, Hillary Ang dan anggota XPDC bersikap ramah kepadanya.
Keadaan berlaku itu memang menarik, kerana sisi ramah berkenaan dilihatnya di sebalik muzik keras yang dibawa mereka.

“Memang susah masa mula-mula nak bertanyakan apa soalan kepada mereka sebab saya rockers pemalu.
“Tetapi alhamdulillah lama-kelamaan perasaan itu pudar dan saya bersyukur diberi kesempatan untuk mengenali mereka dengan lebih dekat,” katanya.
Bukan marah teruk pun
Aweera atau nama penuhnya Nasharul Aweera Noriyissham, 26, ditemui pada sidang media sempena konsert Public Distortion di Oasis Square Petaling Jaya baru-baru ini
Dalam konsert itu juga penonton akan digegarkan dengan perang bunyi, rentak dan melodi menerusi persembahan kumpulan XPDC dan vokalis Search Amy selama 130 minit.
Selain Aweera, Joe dan Hillary yang bermain gitar, Prime Domestic yang melahirkan sebuah album berjudul Prima Domestika itu turut dianggotai oleh Fauzi (basis) dan Ainol (dram).

Aweera sebelum ini pernah menganggotai kumpulan Mojo dan mempopularkan lagu Andaiku Bercinta Lagi dan Romancinta.
Mengulas sesi latihan bersama anggota lain Prime Domestic dan XPDC, Aweera sudah mengagak adat orang belajar pasti dimarah atau ditegur.
Namun Aweera enggan mengambil kisah kerana semua itu pengalaman positif.
Menurutnya, walaupun hampir 10 tahun berada dalam industri, bakatnya masih perlu digilap oleh orang lebih berpengalaman.
“Saya mahu ditegur. Alahai... bukan kena marah teruk pun. Dah namanya latihan, mesti ada sedikit sebanyak kita lakukan kesilapan.
“Ditegur adalah satu kebaikan, abang Joe dan Hillary mengajar saya untuk jadi lebih baik daripada yang sebelum ini,” katanya.


