Seni & Hiburan Malaysiakini

Ramai artis nampak saja mewah tapi sebenarnya...

Nadia Azam  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Walaupun umumnya seseorang artis dilihat hidup mewah, hakikatnya mereka tetap sama seperti orang lain malah dari sudut tertentu cabaran yang mereka hadapi mungkin lebih tidak kurang besarnya.

Sesuai dengan statusnya sebagai selebriti kadang-kadang seseorang artis memerlukan perbelanjaan yang tinggi untuk mengekalkan imej masing-masing demi memenuhi keperluan kerjaya.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) Zed Zaidi berkata keadaan itu memang menjadi tuntutan kerana artis itu sendiri adalah suatu produk secara keseluruhan (pakej) dan perlu diselenggara untuk terus mendapat tawaran atau peluang kerja.

"Sebenarnya hanya 10 peratus saja artis yang benar-benar hidup mewah, manakala selebihnya hidup secara sederhana saja.

"Dunia hiburan adalah tempat mereka mencari makan, justeru memang perlu menjaga penampilan agar sentiasa nampak bergaya supaya mudah dapat tawaran bekerja.

“Padahal apa kita tidak tahu ialah, kehidupan di sebalik semua itu sebenarnya berbeza," katanya yang menegaskan tidak membuat kenyataan untuk merujuk kepada mana-mana personaliti sebaliknya bersifat umum.

Isu artis dan gaya hidup ini muncul ekoran keluhan penyanyi Datuk Sheila Majid yang membuat kenyataan terbuka melalui Twitter.

Kata penyanyi Dengarkanlah itu rakyat ketika ini semakin marah dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan hutang yang membebankan mereka.

Kenyataan itu segera mendapat reaksi daripada pemimpin Umno termasuk Ketua Penerangan Tan Sri Annuar Musa yang menganggap Sheila tidak sesuai bercakap mengenai isu berkenaan kerana bukan pakar ekonomi.

Kenapa dia mengadu

Turut memberi pandangan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Irwan Serigar.

Kata pegawai kanan kerajaan itu beliau kecewa dengan sikap Sheila dan menganggap penyanyi terbabit terkeliru antara isu kenaikan kos sara hidup dan kos gaya hidup.

"Kenapa dia mengadu mengenai kos sara hidup? Berapa pendapatannya?" soal Irwan pada 7 Dis lalu.

Bagaimanapun beberapa artis lain tampil mengeluh dan kecewa dengan sikap sesetengah pihak yang seolah-olah mengehadkan seseorang artis untuk bercakap mengenai bidang seni saja.

Malah pelakon dan pengacara, Adibah Noor mempersoal persepsi pihak tertentu yang berpendapat artis tidak menyumbangkan apa-apa kepada negara.

Anggota kumpulan Brothers, Yasin Sulaiman pula berpendapat luahan Sheila menggambarkan realiti yang dialami rakyat terbanyak.

Penyanyi lagu Dialah itu malah menganggap seseorang artis yang bersuara - walaupun mungkin hidupnya mewah - untuk memperkatakan nasib orang susah adalah mulia.

Pengacara terkenal Datuk Aznil Nawawi pula meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memansuhkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dalam satu pertemuan mereka.

Lebih menarik perhatian ramai ialah kenyataan berterus-terang pelakon Fathia Latiff mempersoalkan kecenderungan pihak berkuasa mahu mengambil tindakan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad ekoran laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai aktiviti perdagangan mata wang asing lebih tiga dekad lalu.

Harap lepas cukai

Kata Zed lagi jika ada seseorang artis mengadakan konsert dengan menyediakan tiket yang bernilai ratusan ringgit, ia juga bukan semestinya melambangkan selebriti terbabit mengamalkan gaya hidup mewah.

Sebaliknya kata Zed ada banyak aspek perlu diberi perhatian dan bayaran tertentu mesti dilunaskan, seperti kos sewaan, upah pemuzik serta seumpamanya.

Pada masa sama katanya sesebuah konsert itu juga membuka peluang pekerjaan untuk orang lain.

“Apabila artis membuat konsert, bukan dia saja dapat kerja, tetapi pemuzik, pengendali sistem bunyi dan pencahayaan, ini sekaligus membuka peluang pekerjaan," katanya.

Seperti orang awam kata Zed artis juga dikenakan cukai.

Dalam isu itu katanya SENIMAN sudah lama memperjuangkan hak supaya artis diberi pelepasan cukai.

Dengan sedikit pengecualian itu katanya seseorang artis memperoleh wang tambahan dan ia boleh dimanfaatkan untuk menggerakkan aktiviti lain yang turut boleh menyumbang kepada ekonomi negara.