Seminggu selepas ditayangkan tersebar khabar bahawa filem Jibam akan dihentikan tayangannya kerana sambutan yang diterima tidak seperti diharapkan.

Ia bukanlah aneh kerana bagi pengendali pawagam, jumlah kehadiran penonton menjadi pertimbangan utama.

Semakin ramai penonton membeli tiket bermakna ia menyumbang kepada kadar perolehan sesebuah panggung.

Hari ini Malaysiakini menyiarkan keluhan pencipta watak Jibam, Ujang, mengenai nasib filem berkenaan.

Petang ini sumber memaklumkan masih ada kesempatan untuk orang ramai menonton filem lakonan kanak-kanak istimewa, Mohd Ariff Abdullah, itu.

Untuk rekod Mohd Ariff seorang penghidap disleksia dan sebelum ini mencipta nama sebagai Buntat dalam siri TV, Tujuh Hari Mencintaiku.

Menurut sumber daripada lebih 80 pawagam yang sebelum ini menawarkan filem Jibam, 16 bersetuju melanjutkan tempoh tayangan masing-masing.

Pawagam terbabit ialah:

  • TGV Bukit Tinggi, Klang
  • TGV Tebrau City, Johor
  • MM Cineplexes, E-Curve, Damansara
  • Premium X Cinema, One City Mall
  • MM Cineplexes Bertam, Pulau Pinang
  • Jitra Mall, Kedah
  • MM Cineplexes Langkawi, Kedah
  • MM Cineplexes Riverfront, Kedah
  • MM Cineplexes Bahau, Negeri Sembilan
  • MM Cineplexes Mahkota Parade, Melaka
  • MM2 Cineplex City Square, Johor
  • Superstar Ulu Tiram, Johor
  • Perdana Labuan, Sabah
  • Eastern Cineplex, Sabah
  • LFS Kuala Terengganu
  • MM Cineplex Kerian Sentral

Menurut sumber terbabit walaupun kurang mendapat sambutan sejak ditayangkan, Jibam banyak menerima reaksi positif daripada orang yang sudah menontonnya.

Selain itu, katanya, terdapat ramai selebriti tanah air membantu dan berkongsikan poster filem Jibam di laman sosial masing-masing untuk mengajak penonton ke pawagam bagi menonton filem tersebut.

Jibam mengisahkan tentang seorang kanak-kanak istimewa iaitu Ashraf (atau Jibam) yang sedikit lembab akal fikirannya, namun mempunyai keistimewaan yang tersembunyi.

Dia mewarisi kepandaian bapanya, Suman untuk mengubati penyakit. Suman mati terbunuh dalam hutan dan kematiannya sungguh misteri.

Jibam turut menampilkan Bohari Ibrahim, Farah Ahmad, Syafie Naswip, Fadzlan Hazim dan Mia Ahmad.