Izara 'kalahkan' Wonder Woman
Nama pelakon Izara Aishah merupakan carian paling popular berdasarkan data Google Malaysia tahun 2017.
Izara berada di tangga pertama mengatasi aktres terkenal Hollywood, Gal Gadot yang dikenali dengan wataknya sebagai Wonder Woman.
Menurut statistik lanjut Google, nama Izara mencecah carian paling tinggi pada 14 Mei lalu dengan penggunaan kata kunci "izara aishah abph" dan "izara aishah berpakaian seksi".
Kekerapan lokasi pembaca yang 'memburu' Izara ialah dari Putrajaya, diikuti Terengganu, Wilayah Persekutuan Labuan, Kedah dan seterusnya Perlis.
Keputusan senarai carian Google itu dipercayai disebabkan sebuah klip video yang memaparkan imej Izara berpakaian mencolok mata sehingga menampakkan sebahagian buah dadanya yang dikongsikan pengguna maya 14 Mei lalu.

Klip video itu pada mulanya dikatakan memaparkan Izara menghadiri majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian yang berlangsung pada tarikh sama.
Bagaimanapun, Izara tampil melalui akaun Instagram miliknya menjelaskan bahawa klip berdurasi kira-kira tiga saat itu dirakam tahun lalu ketika dia menghadiri sebuah acara pertunjukan fesyen di ibu negara.
Izara turut memohon maaf atas keterlanjurannya dalam berpakaian.
Aiman Tino pun ada
“Hai semua, saya mahu meminta maaf kepada keluarga saya, peminat dan semua yang tersinggung dengan video saya menghadiri satu pertunjukan fesyen.
"Ia adalah video lama dan bukan dari Anugerah Bintang Popular baru-baru ini," katanya.
Sementara itu, aktres jelita kelahiran Israel Gal Gadot yang berada di tangga kedua mencecah carian google tertinggi pada 4 Jun lalu ketika media sedang hangat memperkatakan berita dia hamil ketika menjayakan lakonan untuk filem Wonder Woman.

Gal Gadot tampil menjelaskan dia merahsiakan kehamilannya kerana tidak ingin dilayan berbeza dalam set penggambaran.
Dalam senarai sama, berada di tangga ketiga adalah pelakon Hannah Delisha yang juga penyanyi. Bakat wanita kacukan Inggeris-Melayu itu mula hangat diperkatakan selepas dia membintangi drama bersiri Mencintaimu Mr Photograper bersama Syafiq Kyle, disiarkan di Astro Ria.
Di tangga seterusnya adalah Afifah Nasir, aktres yang dikatakan bermain cinta hingga ke pusat karaoke dengan suami orang yang juga pelakon Alif Aziz.
Bagaimanapun, Alif menafikan menjalin sebarang hubungan dengan Afifah dan mengaku melakukan kesilapan hingga tidak sengaja mengasari isterinya Bella Astilah ketika mereka bergelut di pusat hiburan terbabit.
Manakala berada di kedudukan tangga kelima adalah penyanyi Aiman Tino dengan carian yang banyak memfokuskan kepada single ketiga diterbitkannya berjudul Ku Hanya Sayang Padamu.

