Aktres Hollywood bersolidariti hitam protes gangguan seksual
Para pelakon wanita popular Hollywood merancang melakukan bantahan terhadap isu serangan seksual dalam industri hiburan dengan hadir berpakaian hitam sewaktu berlangsungnya acara Anugerah Golden Globe ke-75.
Majlis berkenaan bakal mengambil tempat pada 8 Januari tahun depan.
“Gerakan ini sudah merebak dan boleh dikatakan semua wanita yang tercalon serta penonton juga akan turut serta.
“Kesemua penata gaya yang sudah mengambil ukuran kini mengubah pilihan asal pelanggan mereka untuk Globe,” lapor Us Weekly.
Pada awalnya, hanya beberapa orang aktres merancang untuk memakai spek mata hitam sebagai tanda solidariti. Tetapi rancangan itu mula diketahui ramai dan setakat ini sudah 30 aktres menyatakan kesanggupan mereka untuk memakai pakaian berwarna hitam.

Namun, tidak dapat dipastikan jika aktres Margot Robbie dan Nicole Kidman yang mendapat pencalonan Anugerah Golden Globe akan turut sama menyertai protes berkenaan.
Kes gangguan seksual dalam industri hiburan mendapat perhatian meluas selepas tuduhan mengejutkan mengenai penerbit filem Harvey Weinstein disiarkan pada awal Oktober lalu.
Sejak itu, beberapa orang tokoh lelaki berprofil tinggi didakwa melakukan tingkah laku tidak bersesuaian termasuk Kevin Spacey, Ben Affleck, George H W Bush, Steven Seagal, dan Matt Lauer
Manakala pada awal minggu ini, Anugerah Screen Actors Guild (SAG) mengumumkan semua para penyampai majlisnya pada 22 Januari tahun depan terdiri daripada golongan perempuan.
Pelakon The Good Place, Kristen Bell pula akan menjadi pengacara majlis berkenaan. Penerbit eksekutif anugerah SAG, Kathy Connel memberitahu ia bertujuan memberi penghormatan buat wanita.
“Bermula dengan hari Perarakan Wanita pada Januari, ia menjadi tahun untuk wanita. Ini adalah satu penghormatan buat wanita yang sangat berani dan bersuara,” katanya.

