Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Sheila bakal hiburkan peminat di Jakarta
Diterbitkan:  Dec 18, 2017 1:53 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

Datuk Sheila Majid dijadual akan menghiburkan ribuan peminatnya dalam konsert di tengah Jakarta, Indonesia pada tahun depan.

Ratu jazz itu akan menghiburkan peminatnya melalui Sheila Majid The Concert Jakarta 2018 bertempat di di JIExpo Kemayoran, Jakarta Pusat, Indonesia pada 20 Jan.

Konsert itu hadir selepas 13 tahun penantian panjang diva berkenaan untuk menerbitkan album studio kesembilan berjudul Boneka yang dilancarkan April lalu.

Terdahulu ketika mengulas mengenai Boneka, Sheila berkata sebagai memenuhi tanggungjawab menjadi seorang penghibur di atas pentas, dia terpaksa menjadi "boneka bernyawa."

“Hakikatnya, saya individu yang low profile tetapi bekerja di ruang high profile. Jadi apa yang dipersembahkan, dipertontonkan oleh khalayak itu hanyalah macam satu boneka,” katanya.

Penyanyi Kerinduan itu sebelum ini pernah muncul di Indonesia untuk konsertnya pada 2004, tepat sebelum album ketujuh berjudul Cinta Kita beredar di pasaran.

Pemilik nama penuh Sheila Abdul Majid, 52, itu memulakan karier muzik pada 1985 dengan menerbitkan album sulung Dimensi Baru.

Selepas pengeluaran album berkenaan, Sheila memasuki pasaran Indonesia dengan album kedua berjudul Emosi pada 1986.

Album itu melayakkan Sheila memenangi Anugerah BASF bagi kategori Artis Wanita Terbaik R&B setahun selepas itu - ia belum pernah dimenangi artis Indonesia sebelumnya.

Sheila juga pernah menjadi wakil Malaysia untuk konsert Diva SEA pada November 2001 di Jakarta.

Menerusi Sheila Majid The Concert Jakarta 2018 itu nanti, ia melambangkan anak bongsu daripada lapan beradik itu hanya selangkah lagi untuk memenuhi impiannya dalam memulakan rangkaian jelajah dunia.

Konsert itu dirancang akan dilanjutkan ke Singapura, Tokyo, London, Los Angeles, San Francisco dan Amsterdam.

Kaunter tiket untuk konsert di Jakarta itu dibuka sejak 16 Disember lalu dengan harga antara Rp550.000 (RM157) hingga Rp3.500.000 (RM1,000).

Lihat Komen
ADS