Kos penggambaran filem, drama di Putrajaya membebankan
Ketika harga pelbagai barang dan perkhidmatan mengalami peningkatan, sektor penerbitan drama dan telefilem juga dijangka akan terjerumus dalam masalah sama.
Malangnya keadaan itu berlaku ketika penerbit masih menerima bayaran daripada pihak stesen televisyen dengan kadar kekal di tahap lama.
Menurut Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) Datuk Jurey Latiff Rosli mulai 1 Jan tahun depan mana-mana penerbit yang ingin membuat penggambaran di Putrajaya akan dikenakan caj baru yang lebih tinggi.
"Terlalu mahal! Dulu caj yang dikenakan hanya dalam ratus-ratus ringgit saja,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Jurey ditanya mengenai kenyataan dimuat naik di akaun Facebooknya yang jelas tidak gembira dengan kadar baru bayaran berkenaan.

Menurut pengarah filem Libas dan The Malay Regiment itu Perbadanan Putrajaya (PPj) - yang terletak di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan - memberikan kadar baru untuk penggambaran drama atau filem di kawasan mereka.
Kadar baru itu ialah RM5,000 bagi tempoh 24 untuk penggambaran di kawasan platinum, membabitkan Core Island, lobi dan siar kaki PPj.
Untuk kawasan lain, kadar yang dikenakan ialah RM2,000 untuk tempoh masa yang sama.
Lokasi memang menarik
Penggambaran yang dikenakan bayaran itu adalah untuk filem, iklan, drama, dokumentari atau klip video.
Bagaimanapun menurut pengumuman PPj, potongan harga 50 peratus disediakan untuk agensi kerajaan yang membuat penggambaran.
Semua urusan berkenaan dikenakan bayaran deposit RM5,000.
Kata Jurey peningkatan caj itu akan ditanggung penerbit dan ia pasti meningkatkan perbelanjaan produksi.

Justeru Jurey berharap PPj dapat memberi penjelasan mengenai kenaikan kadar itu dan sedia memberi pertimbangan kepada rayuan penerbit.
“Putrajaya adalah lokasi yang menarik dirakamkan bagi memaparkan imej negara.
"Sudah tentu menjadi tumpuan syarikat penerbitan,” katanya.
Menurut Jurey PPj tidak wajar membuat keputusan drastik itu sebaliknya membantu meringankan beban ditanggung syarikat penerbit filem dan drama tempatan.
"PTVM berharap PPj menangguhkan pelaksanaan kadar baru itu dan mengadakan perbincangan bagi mencari kaedah terbaik menangani isu ini," katanya.

