Kegigihan wanita di sebalik bayang-bayang manusia terkaya di dunia
Untuk penonton yang tekun, mereka boleh mengesan filem jenayah thriller All The Money In The World sebenarnya berkisah tentang wanita yang terkepung dalam dunia lelaki.
Ia menampakkan kegigihan Gail Harris (lakonan Michelle Williams) yang terpaksa berdepan dengan penguasaan bapa mertuanya, pengasas Syarikat Minyak Getty.
“All The Money In The World memaparkan kehidupan yang berlaku di sekeliling hartawan minyak John Paul Getty (Getty).
“Ia juga mengisahkan cucu Getty, John Paul Getty III (Paul) yang diculik oleh kumpulan jenayah terancang dan usaha Gail untuk menyakinkan datuknya yang kaya itu untuk membayar wang tebusan.
“Sudah tentu ia drama yang mendebarkan, tetapi saya juga menganggap ia sebuah karya yang menyokong gerakan kewanitaan (feminist).
“Ia mempamerkan bagaimana rasanya seorang wanita yang terpaksa hidup dalam dunia lelaki,” katanya.
Kerumitan, mengawal situasi
Michelle berkata watak Gail mencerminkan betapa kuatnya seorang wanita apabila perlu berdepan kerumitan.
“Secara mendalam, Gail memahami untuk dipandang serius, dia harus belajar mengumpulkan segala keupayaan dan kuasanya agar dapat melawan untuk mengawal situasi.
“Ini juga memudahkannya untuk duduk semeja (sama taraf dengan lelaki). Terdapat begitu banyak babak mempamerkan bagaimana dia dipinggirkan hanya kerana dilahirkan sebagai seorang wanita,” katanya.
Filem All The Money In The World itu diinspirasikan daripada kisah hidup seorang lelaki yang dinamakan Majalah Fortune sebagai lelaki Amerika Syarikat paling kaya masih hidup pada 1957 iaitu Getty.
Berlatar belakang tahun 1973 di Rome Itali, penculik memaksa keluarga remaja berusia 16 tahun itu membayar wang tebusan berjumlah AS$17 juta sebagai syarat pembebasan.

Selain Michelle, All The Money In The World turut dijayakan oleh pelakon hebat lain seperti Chrisptopher Plummer (Getty), Mark Wahlberg (Flether Chase) dan Charlie Plummer (Paul).
Namun sebelum menjengah panggung pada 25 Disember lalu, pengarah Scot Ridley terpaksa membuat keputusan penting membabitkan Kevin Spacey, pelakon yang akan menjayakan watak utama dalam filemnya itu.
Nama Kevin menjadi perhatian media sekitar Oktober lalu apabila timbul tuduhan mengenai salah laku seks membabitkan dirinya.
Menurut Michelle, di sebalik watak yang dibawa itu, dia sebenarnya menyukai perwatakan wanita cekal.
“Watak Gail tidak boleh berputus asa, dia harus membebaskan anaknya. Tetapi proses yang perlu ditempuhi itu akan berubah setiap hari kerana situasi yang memburuk biasanya disebabkan oleh keadaan dan orang di sekeliling yang bukan tertakluk di bawah kawalannya,” katanya.

