Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Suspek tipu pakej melancong artis direman
Diterbitkan:  Jan 5, 2018 2:28 PM
Dikemaskini: 6:38 AM

Wanita tempatan yang didakwa pelakon Den Wahab dan pengarah Aziz M Osman menyamar sebagai ejen pelancongan bagi percutian ke Korea Selatan Disember lalu ditahan reman dua hari bermula hari ini.

Mahkamah Majistret Petaling Jaya memerintahkan ahli perniagaan berusia 36 tahun itu dtahan reman sehingga esok bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Jika disabit kesalahan, suspek yang hanya dinamakan sebagai “Puan F” itu boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun, sebat serta denda.

Puan F yang mendakwa mempunyai tiga orang anak itu dilihat memakai baju lokap dan tudung berwarna hijau berjalan sambil diiringi polis ke kamar mahkamah pada 10.45 pagi tadi bagi prosiding reman berkenaan.

Menurut Harian Metro, prosiding itu mengambil masa 25 minit sebelum suspek dibawa keluar pada 11.10 pagi.

Puan F menyerah diri di Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Petaling Jaya bersama suaminya pada 3 petang, semalam.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan suspek menawarkan pakej percutian dengan harga semurah-murahnya pada kadar RM2,000 untuk percutian ke Seoul, Korea Selatan kepada Den dan Aziz.

Rombongan terbabit berada di Seoul selama lima hari bermula 24 Disember lalu.

Menurut Den, wanita terbabit turut memperdaya mangsa dengan bercerita kisah hidupnya yang sedih bagi mendapatkan kepercayaan mangsa.

"Wanita itu memang licik, antaranya dia menggunakan kata-kata manis dan menjual nama artis lain hingga mangsa mudah terpedaya,” katanya.

Den menganggarkan kerugian dialami mereka akibat penipuan Puan F antara RM90,000 hingga RM100,000.

Den sebelum ini pernah menyatakan pihaknya memberi tempoh selama seminggu untuk wanita terbabit tampil dan membayar semula wang.

Disebabkan suspek gagal berbuat demikian, Den bersama Aziz dan 18 lagi individu membuat laporan polis di balai berasingan.

Lihat Komen
ADS