Farid: Alhamdulillah, semua aman
Kelibat Datuk Farid Kamil Zahari yang muncul di kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini dilihat tenang sambil wajahnya tidak putus-putus mengukirkan senyuman.
Sambil diiringi polis ke kenderaan selepas mahkamah memutuskan reman Farid dilanjutkan sehari lagi bermula hari ini, dia sempat berkongsi perasaan yang dialami kini.
"Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah semua berlangsung secara aman. Sekarang ini saya cuma ikut perintah dan terima kasih kepada semua," katanya kepada wartawan.
Ketika ditanya mengenai luka yang terdapat pada dahinya, Farid cuma memberi alasan ia disebabkan "perkara biasa."
Farid ditahan reman selama empat hari sejak Jumaat lalu selepas didakwa menampar seorang anggota polis dan menyepak orang awam ketika berada di Kaunter Cawangan Trafik Balai Polis Kota Damansara Khamis lalu.
Ujian saringan air kencing turut mendapati Farid disahkan positif dadah jenis ganja.
Turut hadir ke kompleks mahkamah hari ini dua adik Farid, Fadzil Bahari Zahari, dan Anis Anwar. Bagaimanapun, isteri Farid, pelakon Diana Danielle tidak kelihatan sekitar mahkamah.
Emosi makin stabil
Menurut adik Fadzil 34, emosi abangnya itu dilihat sudah semakin stabil berbanding sebelum ini.
"Sebelum ini nampak dia sangat tertekan tetapi hari ini saya sangat berasa lega apabila melihat keadaan fizikal dan emosinya yang semakin baik dan tenang.
"Mungkin kerana dia mendapat sokongan rakan artis dan media," katanya.
Mengulas mengenai perintah lanjutan reman sehari lagi terhadap Farid, Fadzil berkata mereka sekeluarga bersedia memberikan kerjasama untuk membantu siasatan polis dijalankan.
“Kalau boleh kami sekeluarga memang tidak mahu Farid duduk dalam tu (lokap), tetapi kita perlu bekerjasama dengan polis dan ini memakan masa untuk mereka siasat.
“Setakat ini, siasatan untuk kes jenayah telah selesai, hanya tinggal bahagian narkotik saja,” katanya.
Selaku mewakili Farid dan keluarga, Fadzil sempat memohon maaf terhadap mangsa yang dikasari pelakon Tombiruo: Penunggu Rimba itu.
“Kami minta maaf pada mangsa yang terlibat dan cedera. Kami memohon maaf pada semua,” katanya.

