Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
'Dia dapat rasakan saya memegang tangannya'
Diterbitkan:  Jan 16, 2018 8:13 AM
Dikemaskini: 12:19 AM

Memberi sokongan tidak semestinya perlu berada secara fizikal di samping suami dan pada setiap masa.

Bagi Diana Danielle, sokongan boleh datang dalam apa jua bentuk sekalipun termasuk ingatan dalam fikiran.

Itulah yang dijelaskan aktres terbabit apabila orang tertanya-tanya di mana dia ketika Datuk Farid Kamil ditahan polis sejak 12 Jan lalu.

Semalam apabila polis mendapatkan perintah reman sekali lagi, kelibat Diana sekali lagi tidak kelihatan.

Namun aktres itu yakin suaminya dapat merasai kehadirannya walaupun mereka berjauhan.

“Jangan tanya mengapa kamu tidak melihat saya. Dia (Farid) melihat saya. Dia tahu saya berada di sana bersamanya.

“Dia dapat merasai tangan saya memegang tangannya. Itu saja yang penting,” kata Diana dalam status berbahasa Inggeris yang dimuat naik pada akaun Instagram miliknya malam tadi.

Sejak dikongsi di alam maya, status berkenaan mendapat lebih 70,000 like. Bagaimanapun ruang komen masih ditutup.

Turut dikongsi bersama status Diana itu adalah sebuah puisi pendek karya penulis berpangkalan di Florida, Amerika Syarikat Christopher Poindexter.

 

 

Puisi berkenaan seolah-olah memberi bayangan kuatnya kasih yang masih terjalin antara pasangan yang dilanda dugaan itu.

"Apa yang benar-benar ku mahu,
Dari mula tumbuhnya
tulang-tulang di dalam tubuhku
Adalah untuk mengenal cinta
Dan untuk cinta mengenaliku."

Ini adalah kali kedua pelakon filem Hanyut itu meluahkan perasaan yang terbuku di media sosial.

Tiga hari lalu, Diana meluahkan - juga di akaun Instagram sama - tidak mahu memberi kenyataan melulu atau menjawab sebarang pertanyaan berhubung apa yang menimpa Farid.

 

 

A post shared by Diana Danielle (@dianadanielleb) on

 

Pada masa sama, Diana juga menegaskan suaminya itu tidak pernah sesekali mengasari dirinya.

Semalam Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan pelakon dan pengarah filem itu disambung reman sehari lagi sehingga hari ini bagi membantu siasatan berhubung empat kes jenayah termasuk menampar seorang anggota polis.

Lihat Komen
ADS