Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Di sebalik kritikan, Bront tabah jadi pesara askar Israel

Digemari sesetengah orang, namun sebahagian yang lain beranggapan Ayat-ayat Cinta 2 sekadar pembaziran wang untuk membeli tiket.

Tiada kepuasan yang dinikmati, kata mereka, terutama apabila harapan tinggi diletakkan buat filem arahan Guntur Soeharjanto berkenaan.

Pun begitu, seorang daripada pelakonnya, Bront Palarae, tidak cepat melatah ketika kisah tentang Fahri dan Aisha menjengah pawagam 10 tahun selepas Ayat-ayat Cinta pertama ditayangkan.

Malah ketika ditanya sama ada dia berasa tergugat mendengar reaksi penonton di media sosial Bront kekal positif.

"Memang lumrah untuk mendapat komen negatif daripada netizen. Bukan filem sahaja, sukan dan politik pun begitu juga.

"Jadi saya ambil pendekatan positif. Saya terima pandangan mereka sebagai perangsang serta panduan untuk projek-projek akan datang,” katanya kepada Malaysiakini.

Dalam Ayat-ayat Cinta 2, Bront Palarae - atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin - membawa watak sebagai Baruch, iaitu bekas tentera Israel dan berjiran dengan Fahri (Fedi Nuril).

Bront, 39, berkata Ayat-ayat Cinta 2 yang mula disiarkan di pawagam Malaysia pada 11 Januari lalu - dan di Indonesia pada 21 Disember 2017 - sebenarnya mendapat sambutan tidak disangka-sangka daripada penonton.

Semakan Malaysiakini setakat hari ini mendapati, penonton memberi reaksi berbeza terhadap filem berkenaan.

Dua isu berbeza

Kerana tidak berpuas hati, ada antara mereka meluahkan perasaan ingin bersemuka dengan penulis skrip filem berkenaan secara langsung.

“Saya amat kesal sekarang ini sebab keluarkan duit untuk menonton filem tetapi tidak berbaloi langsung walaupun hari ini hari Rabu dan wayang murah.

“Sekiranya harga tiket RM1 pun saya takkan bayar. Saya nak minta mereka pulangkan wang saya," kata pemilik akaun @nishxnish di Twitter.

Penonton lain pula yang memberikan penilaian rendah, membayangkan rasa tidak puas hati mereka.

Ayat-ayat Cinta 2, saya memberikan rating 4 daripada 10 bintang. Ia filem bagus dengan mesej mengenai prejudis dan perkauman, cuma satu masalah - ia menggambarkan dimensi protagonis (watak seorang lelaki yang kaya raya, taat akan suruhan dan ramai gadis yang ingin mengahwininya.)

“Ia agak terlebih dramatik dan menutupi mesej sebenar serta terlepas pandang akan konteks sebenar,” tulis pengguna akaun @hannyussof.

 

 

Pun begitu, masih terdapat komen yang memuji filem berkenaan seperti ditulis @syahirahjunid

“Saya menonton Ayat-ayat Cinta yang pertama ketika berumur 10 tahun. Dan ketika berumur 20 tahun, Ayat-ayat Cinta 2 ditayangkan di pawagam. Penantian selama 10 tahun amat berbaloi. Filem ini sememangnya hebat. Tahniah diucapkan kepada produksi MD Pictures,” tulisnya.

Biar apa jua komen dilontarkan netizen, ia sedikit pun tidak akan memperlahankan jejak langkah Bront untuk terus menerima tawaran berlakon daripada negara jiran.

Bagi Bront, ia adalah dua isu yang berbeza.

“Kolaborasi saya dengan industri Indonesia lebih berpandukan proses uji bakat, tidak melibatkan pengaruh media sosial sama ada dari segi sudut pengikut mahupun komen netizen terhadap filem yang saya lakonkan,” katanya.

Terdahulu, pelakon yang mendapat gelaran “hot daddy" di Indonesia pernah menyatakan impiannya terus melebarkan langkah dalam industri perfileman di negara seberang.

Untuk makluman, ini adalah kali keempat Bront berlakon di bawah sutradara Indonesia. Sebelum ini dia turut muncul untuk filem Pengabdi Setan pada 2017 dan Half World - iaitu drama bersiri fantasi thriller pada 2015. Kedua-duanya diarah sutradara terkenal Indonesia, Joko Anwar.

Pelakon, penerbit dan pengarah yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu turut diajukan mengenai kepuasannya membawa watak Baruch, seorang bekas tentera Israel dan bukan beragama Islam.

"Saya berlakon untuk menjayakan watak mengikut kehendak pengarah.

"Aspek agama Baruch pula langsung tidak ditunjukkan dalam mana-mana babak, dan informasi mengenai agama dia cuma disampaikan melalui dialog watak-watak lain,” katanya yang berharap pembabitannya dalam filem berkenaan dapat mengangkat, mengupas dan menyampaikan isu-isu sejagat.

Lihat Komen
ADS