Jabatan agama T'ganu beri nasihat buat kaki dangdut
Jabatan Agama Islam di Terengganu akan bekerjasama dengan pihak berkuasa lain untuk memantau aktiviti dangdut di Kampung Telari, Kuala Terengganu.
Menurut Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) Wan Ismail Sahaimi Wan Omar mereka akan melakukan pemantauan bersama untuk mengenal pasti kesalahan yang boleh dikenakan tindakan.
Ketika dihubungi Malaysiakini, Wan Ismail berkata aktiviti hiburan berbentuk nyanyian dan lagu-lagu dangdut itu dianjurkan oleh seseorang dan berlangsung di atas tanah persendirian.
Justeru katanya JHEAT akan mengadakan kerjasama dengan polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melihat sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang sedia ada.
"JHEAT berpendapat jika ada mana-mana pihak mahu mengadakan apa-apa aktiviti hiburan, mereka hendaklah mendapatkan lesen daripada PBT," katanya.
Sebelum itu media melaporkan wujud aktiviti "mendadak" berkaitan tarian dangdut menampilkan unsur lucah dengan penari berpakaian seksi di Kampung Telari, Kuala Terengganu.
Ia kemudian menimbulkan rungutan penduduk setempat.
Bernama sebelum ini melaporkan perkampungan itu sebelumnya terkenal memelihara budaya tradisional seperti dikir barat sebagai hiburan.
Namun persembahan hiburan itu tidak lagi ditonjolkan sejak beberapa tahun lalu, dan dangdut mengisi kekosongan berkenaan bersama daya tarikan yang kuat, sehingga mampu menggamit warga emas berkopiah.
Pemantauan mendapati aktiviti itu dipercayai wujud sejak lima tahun lalu.
Ia memulakan operasi seawal jam 9 malam dengan penari memakai baju seksi dan menari dengan tarian menggairahkan serta berunsur lucah bersama pelanggan warga emas, berlarutan hingga ke awal pagi.
Kawasan kelab dangdut itu juga mempunyai jarak kurang 200 meter dari kawasan masjid.
Sementara itu, Wan Ismail menasihati orang ramai supaya menjaga adab dan mengelakkan fitnah.
"Jika hiburan tersebut boleh menimbulkan banyak fitnah dan mempunyai unsur-unsur haram maka lebih baik ianya dihentikan," katanya.

