Yuna mahu detik jadi isteri kekal milik peribadi
Pernikahan Yuna yang agak mengejut semalam tidak ada maksud terselindung, kecuali ia sengaja dirancang sedemikian.
Kata penyanyi Terukir Di Bintang itu, dia berbuat demikian kerana ingin sebahagian perkara dalam hidupnya kekal menjadi milik peribadi.
Justeru ia diadakan tanpa sebarang makluman, tertutup dan hanya dihadiri orang tertentu.
"Saya orang yang tidak gemar bercerita kisah peribadi kepada umum.
"Biasanya saya hanya akan terbuka untuk bercerita mengenai karier.
"Biarlah saya simpan sedikit (kisah peribadi) untuk diri sendiri terutama mengenai hal perkahwinan, kerana saya tidak mahu gangguan," katanya.
Yuna juga menegaskan sikap itu tidak bermakna dia seorang perahsia.
Lokasi bulan madu
Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara'ai, 32, ditemui pada sidang media di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya sebentar tadi.
Penyanyi yang juga turut tekenal dengan lagu Crush itu selamat bergelar isteri kepada Adam Yusuf Sinclair, 34, dengan sekali lafaz kira-kira pukul 7 malam semalam.

Majlis pernikahan itu diadakan di Puncak Rimba, Bentong, Pahang lima bulan selepas mereka mengikat tali pertunangan.
Majlis berkenaan hanya dihadiri oleh keluarga dan rakan terdekat.
Dalam pada itu, ditanya mengenai perancangan untuk menimang cahaya mata, Yuna menjawab, dia membiarkan takdir yang menentukan.
Pada masa sama katanya dia akan memberi tumpuan kepada perkembangan karier.
"Siapa tidak mahu anak-anak, kan? Tetapi biarlah ia mengikut ketentuan Tuhan.
"Buat masa ini saya mahu fokus kepada karier kerana bakal mengadakan siri jelajah di AS, Eropah dan Asia kemudian akan melancarkan album dalam pertengahan tahun, atau sekitar Jun ini," katanya.

Untuk lokasi berbulan madu pula, Yuna berkata dia dan Adam yang juga pengarah video komersial itu masih belum memutuskan sebarang destinasi.
"Kalau boleh banyak tempat yang kami ingin pergi. Mungkin kami akan ke AS atau Amerika Selatan," katanya.
Sementara itu, selepas berkahwin Yuna menyatakan akan terus menetap di Los Angeles kerana dia sudah lapan tahun berpangkalan di sana.
"Bagaimanapun, saya masih mempunyai keluarga di Malaysia dan bukanlah mahu selama-lamanya menetap di sana.
"Kena pulang Malaysia juga nanti. Kita akan tengok macam mana," katanya.
Dalam perkembangan sama, pasangan pengantin baru itu akan diraikan dalam sebuah majlis kenduri yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada malam Ahad.

