Anuar Zain mahu beli insurans suara
Pernah dihantui pengalaman kehilangan suara, Anuar Zain menyatakan hasrat membeli insurans sekiranya dia menghadapi masalah sama di masa depan.
Memandangkan polisi seumpama itu tiada di negara ini, Anuar berkata dia sanggup berusaha mendapatkan insurans berkenaan sekalipun perlu keluar negara.
“Insurans suara menjadi keutamaan saya. Saya sedang pertimbangkan untuk mengambil insurans seperti itu dari luar seperti Singapura atau Thailand, saya pernah cuba mendapatkannya di sini tetapi tiada.
“Saya mungkin bukan penyanyi terbaik tetapi ini adalah karier dan pekerjaan yang dilakukan seumur hidup, justeru harus bertanggungjawab kepada peminat,” katanya yang menggesa penyanyi lain turut mengambil langkah berjaga-jaga.
Pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain, 47, itu ditemui sidang media Konsert Bunga Citra Lestari, Anuar Zain dan Yuka Kharisma Live In Concert di Kuala Lumpur kelmarin.
Tiga acara terpaksa dibatalkan tahun lalu akibat masalah dihadapi Anuar. Antaranya termasuk Konsert Yonder Music Live Series By The Lake: Anuar Zain & You yang sepatutnya berlangsung 21 Jan 2017.
Selebriti terkenal Hollywood, Mariah Carey antara penyanyi yang pernah menginsuranskan peti suaranya untuk nilai AS$35 juta (RM136 juta) ketika sedang menjalani konsert jelajah dunia dua tahun lalu.
Selain Mariah, Bruce Springsteen juga turut berbuat demikian dengan nilai polisi berjumlah AS$6 juta (RM23 juta).
Bagaimanapun, peminat tidak perlu khuatir dengan masalah dihadapi adik kepada penyanyi Ziana Zain itu kerana dia sudah mendapat kelulusan pakar untuk kembali beraksi sepenuhnya.
Anuar akan menyalurkan tenaganya sehabis baik buat konsert sulung tahun ini iaitu Bunga Citra Lestari, Anuar Zain dan Yuka Kharisma Live In Concert yang bakal diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur 24 April depan.
“Akan ada acara lain disusuli selepas ini, insyallah. Ini konsert pertama. Alhamdulillah dapat berkolaborasi dengan Bunga Cinta Lestari dan Yuka Kharisma. Jarang saya berkolaborasi dan kongsi pentas dengan bakat macam ini.
“Tawaran itu diterima kerana berharap dapat belajar perkara berbeza dari yang biasa saya lakukan seperti teknik nyanyian dan cara berinteraksi untuk membeli jiwa peminat,” katanya.

