Nama Quentin Tarantino sekali lagi mencetuskan kontroversi. Kali ini kerana mempertahankan pengarah terkemuka, Roman Polanski, yang didakwa menjalin hubungan seks dengan budak perempuan.

Kata Tarantino, Polanski dan remaja berusia 13 tahun itu bersenggama tanpa paksaan sebaliknya terjadi dengan persetujuan kedua-dua pihak.

Menurut pengarah filem Kill Bill itu walaupun Polanski dituduh merogol Marriane Barnard, namun ia berlaku kerana remaja terbabit "mengingininya".

“Dia tidak memperkosa seorang remaja berusia 13 tahun. Ia adalah rogol statutori. Ada perbezaan antara dua perlakuan itu,” katanya seperti dilapor Foxnews.

Kenyataan Tarantino itu sebenarnya dibuat sudah lama iaitu kira-kira 15 tahun lalu. Namun ia muncul ketika satu demi satu selebriti Hollywood tampil mendedahkan pengalaman masing-masing menjadi mangsa kebuasan pengarah serta penerbit filem.

Polanski, 84, memang bukan asing dengan tuduhan berkaitan jenayah seks.

Tokoh perfileman kelahiran Perancis dan mempunyai darah campuran Poland dan Yahudi itu didakwa melakukan serangan seksual seawal 1977.

Dia kini menjadi pelarian sejak 1978 untuk mengelakkan hukuman atas kesalahan merogol di AS.

Dadah bukan isu

Dalam temu bual bersama personaliti radio dan TV, Howard Stern, Tarantino berkata istilah "rogol" tidak wajar digunakan dengan sewenang-wenangnya.

“Dia (Polanski) mengadakan hubungan seks dengan seseorang di bawah umur, ia bukan rogol.

"Pada saya, apabila kamu menggunakan perkataan rogol ia membawa maksud sesuatu yang liar dan mengaibkan mereka, ia seolah-olah jenayah paling ganas di dunia,” katanya.


Baca: Mangsa nafsu Weinstein mungkin lebih 40 orang


Terdahulu Tarantino, 54, ditanya Stern mengapa Polanski tetap diraikan dan dikagumi di sebalik sejarah jenayah seksualnya.

Apabila pengacara bersama, Robin Quivers, mencelah dengan mendakwa remaja terbabit diberi dadah, Tarantino berkata itu bukan isu.

“Dia (remaja) itu yang mahu keluar dengan lelaki terbabit,” katanya.

Pada masa sama Tarantino mengingatkan mereka sedang bercakap mengenai moral remaja berusia 13 tahun di AS.

“Kita bercakap mengenai moral warga Amerika, bukan bercakap pasal moral di Eropah atau lain-lain,” katanya.

Namun, kenyataan itu tidak dipersetujui oleh Stern.

“Kamu mengadakan hubungan seks dengan seorang remaja berusia 13 tahun dan kamu juga seorang dewasa, justeru kamu tahu ia adalah satu kesalahan...." katanya.

Tanpa membenarkan Stern menghabiskan ayatnya Tarantino berkata remaja terbabit gemar bersosial.

Rakaman wawancara berkenaan yang disiarkan di YouTube namun dipadam ekoran isu hak cipta daripada Sirius XM.

Selain jenayah seksual Polanski juga disabitkan dengan pelbagai kesalahan menipu dan meliwat.

Kehidupan Polanski dikatakan bertukar 180 darjah selepas isterinya yang hamil, Sharon Tate, serta empat rakan dibunuh pengikut pemimpin kultus Charles Manson pada 1969.

Selain Kill Bill Tarantino juga dikenali dengan banyak filem yang mendapat pujian ramai, termasuk Pulp Fiction, Inglorious Bastard dan Django Unchained.