Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Lama 'tenggelam' kini Hafiz Suip bertatih lagi

Tidak mudah buat Hafiz Suip kembali menapak dalam dunia seni selepas dia hilang dari radar utama selama kira-kira dua tahun.

Untuk memulakan kembaranya itu, Hafiz laksana seorang bayi yang baru mendapat kaki.

Hafiz terpaksa bertatih dan pada masa sama bersaing dengan ramai pendatang baru yang muncul bak cendawan selepas hujan.

Justeru katanya dia harus memikirkan pelbagai strategi baru bagi memastikan namanya kekal relevan dalam industri.

“Nak tak nak, kena terima hakikat sekarang ada ramai artis baru. Jadi saya memang kena memulakan semula langkah dari bawah.

“Memanglah ramai yang kenal saya sebagai penyanyi tapi itu masih tidak memadai," katanya.

Antara realiti perbezaan pasaran yang terpaksa dihadapi Hafiz ialah hayat bertahan sesebuah lagu.

“Dulu hanya dengan satu lagu seseorang artis mampu bertahan hingga setahun,” katanya.

Pemilik nama penuh Mohd Hafiz Mohd Suip, 27, itu ditemui pada sidang media pelancaran video muzik Rocketfuel x Redbox di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perubahan cuma seketika

Hafiz berharap langkah diatur Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd dengan mencipta sebuah lagu baru dengan genre pop, Hari Ini Dalam Sejarah dapat memberi suatu kelainan selain memastikan peminatnya tidak beralih arah.

“Ini umpama lagu come back saya. Saya kena pandai main strategi, jangan sampai orang akan cakap asyik-asyik bawa benda sama, tak ada perubahan," katanya.

Dengan adanya pembaharuan kata Hafiz sekurang-kurangnya peminat memiliki sesuatu untuk dibualkan mengenai dirinya.

Bagaimanapun, peminat yang memang menggemari Hafiz menyanyikan lagu berirama balada tidak perlu khuatir.

Hal itu kerana idola mereka menjanjikan 'perubahan' yang ditampilkannya bersifat sementara.

Kata Hafiz, dia akan kembali menyanyikan genre itu semula pada masa akan datang kerana memang 'gian' untuk melepas rindu.

“Insya-Allah saya akan kembali dengan balada. Tetapi saya tersedak juga apabila terdapat peminat yang tidak boleh menerima konsep baru ini.

“Dalam industri sekarang sebenarnya benda pelik itulah lagi ramai orang suka berbanding sesuatu yang lazim. Asalkan perkara berbeza itu bukan sesuatu yang buruk,” katanya.


Baca: Punk rock melawan pelampau Buddha


Untuk rekod, Hafiz menyepi dari bidang nyanyian kerana menanggung derita kesan kecederaan tulang belakang sewaktu menyertai aktiviti sukan.

Selain itu, Hafiz juga mengalami kekangan waktu untuk menguruskan karier sejak bergelar bapa kepada Muhammad Riyadh Zafri yang lahirkan 31 Disember lalu.

Sementara itu, mengulas mengenai pasaran album yang suam-suam kuku, Hafiz berkata ia memberi tamparan hebat buatnya tambahan pula sekali lagi perlu bermula dari bawah.

“Semua artis mungkin mengalami perkara sama. Jika dulu boleh jual ratusan ribu album, sekarang ini nak capai kadar puluhan ribu pun susah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS