Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Putus sudah kasih sayang
Diterbitkan:  Feb 19, 2018 4:12 PM
Dikemaskini: 8:22 AM

Bermacam spekulasi timbul berhubung isu pertunangan Elfira Loy sebelum ini dan kini bapa aktres itu mengesahkan cincin pertunangan yang 'mengikat' anaknya dikembalikan.

Kata Ahmad Sabri Ariffin cincin pertunangan milik Sufian Suhaimi dikembalikan kepada keluarga penyanyi terbabit di Muar, Johor semalam.

Menurutnya majlis memulangkan cincin itu dilakukan mengikut adat sambil ditemani lapan anggota keluarganya.

Mereka kemudian bertemu bapa saudara Sufian kira-kira jam 5.30 petang.

Bagaimanapun, menurut Ahmad Sabri, Suffian tidak berada di rumah ketika acara memulangkan cincin tunang itu berlangsung.

“Kami sekeluarga sudah membuat keputusan memutuskan tali pertunangan antara Elfira dan Sufian.

“Kami anggap antara anak saya dan dia (Sufian) tiada jodoh.

"Apa juga alasan atau sebab musabab lain itu tak perlulah ditulis kerana ia akan menyakitkan hati dan menyinggung perasaan orang lain.

“Biarlah ia tersimpan erat dan hanya keluarga masing-masing saja tahu,” katanya seperti dilapor BH Online.

Kelmarin, ibu Elfira, Filzah Yusoff mengesahkan anaknya itu sudah pun membatalkan pertunangan dengan penyanyi yang popular melalui lagu Terakhir dan Terasa Ada itu.

Minta maaf atas khilaf

Pelakon Ketika Cinta Merintih itu dan Sufian bertunang pada 6 Oktober tahun lalu dan sepatutnya disatukan pada awal bulan depan.

Menurut Ahmad Sabri, proses pemulangan cincin mengambil masa disebabkan timbul masalah urusan kedua-dua keluarga selain faktor kesesuaian masa.

“Saya pun sibuk dengan urusan kerja. Jika diikutkan, kita mahu serah cincin ini sebelum Elfira mengerjakan umrah pada awal bulan ini. Tapi ada saja halangan.

“Akhirnya, alhamdulillah segala urusan dipermudahkan semalam,” katanya.

Bagi Ahmad Sabri, biarpun ikatan itu terlerai di tengah jalan, pihaknya dan Sufian menerima keputusan itu dengan hati terbuka malah jauh sekali untuk timbul dendam.


Baca Kalau tak nak mengundi baik jadi zombie


“Kami masing-masing reda dengan apa yang sudah tertulis dan sepakat meneruskan hubungan baik tanpa perlu bermusuh," katanya.

Pun begitu, Ahmad Sabri mengakui kedua-dua belah pihak tidak dapat lari daripada terluka dan menanggung malu.

"Saya tak anggap hanya satu keluarga saja yang menanggung malu dan sedih. Sebaliknya, kedua-dua keluarga.

"Sebagai orang Islam dan Melayu kita menerima ketentuan qada dan qadar ini... Kita merancang, Tuhan tentukan.

"Malah, lebih baik dan afdal selepas ini kita tutup saja hal ini tanpa perlu ada lagi kenyataan daripada pihak Elfira dan Sufian termasuk sidang media yang boleh menyinggung perasaan,” katanya.

Tambah Ahmad Sabri, dia turut berkomunikasi dengan Elfira dan Sufian selepas apa terjadi.

Malah dia memuji sikap dipamerkan Sufian yang masih merendah diri walaupun terpaksa berdepan situasi memilukan.

“Saya ada menghantar mesej kepada Elfira sekembalinya dia dari New York, malam tadi. Saya harap dia kuat dengan dugaan ini.

“Saya harus puji Sufian kerana mesej yang dihantarnya, semalam cukup bagus. Dia beritahu keluarganya sudah maklumkan hal penyerahan cincin. Dia juga minta maaf atas khilaf diri selain meminta halalkan makan dan minum,” katanya.

Lihat Komen
ADS