Paling Popular
Terkini
mk-logo
Seni & Hiburan
Syarikat tudung Neelofa mohon maaf
Diterbitkan:  Feb 28, 2018 4:09 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Selebriti terkenal Neelofa hari ini tampil memohon maaf berikutan tindakannya melancarkan koleksi tudung di sebuah kelab malam di ibu negara baru-baru ini sehingga mencetuskan kontroversi.

"Kami memohon maaf terutama kepada penyokong kuat jenama kami dan semua individu yang telah terjejas oleh insiden baru-baru ini.

"Majlis pelancaran yang sepatutnya menjadi acara yang istimewa untuk jenama kami telah menjadi isu perdebatan dan menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak," jelas kenyataan yang disiarkan di laman Instagram, Naelofarhijab.

Menerusi kenyataan tersebut, Neelofa yang juga pengarah urusan PH Prima Sdn Bhd berkata pihaknya telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan acara berkenaan tidak dikaitkan dengan minuman keras.

"Sepanjang majlis pada malam itu, kami telah mengambil setiap langkah berjaga-jaga untuk memastikan apa-apa jenama dan botol-botol minuman keras, gelas serta perkakas diasingkan dan dikeluarkan sepenuhnya daripada tempat tersebut sebelum berlangsungnya majlis.

"Akses ke bar dan kelab lain juga ditutup dan merokok adalah dilarang sama sekali sepanjang majlis tersebut," katanya.

'Makanan disajikan halal'

Selain itu, Neelofa atau nama sebenarnya Noor Nabila Mohd Noor berkata mereka turut mendapatkan katerer dari luar untuk menyajikan makanan halal ketika majlis berkenaan.

"Semua perkakas termasuklah sudu, garfu dan gelas yang digunakan oleh para tetamu juga disediakan oleh katerer tersebut," jelasnya.

Neelofa berkata, kelab berkenaan dipilih kerana kemudahan yang ditawarkan dan ruang itu juga tidak dibuka untuk kunjungan umum.

Justeru katanya, mereka telah mengambil langkah segera untuk membetulkan situasi yang berlaku.

"Tiada yang lebih penting daripada mendapatkan kembali kepercayaan dan keyakinan semua.

"Kami mengambil serius dan mendengar semua komen mengenai isu ini dan kami akan menggunakannnya untuk membimbing kami secara positif bagi mengelakkan insiden yang sama berulang," tegasnya.

Neelofa sebelum ini mengundang kritikan apabila melancarkan koleksi jenama tudungnya di Zouk, sebuah kelab hiburan terkenal di ibu negara.

Susulan itu banyak pihak mengkritik majlis berkenaan kerana dianggap mencemarkan imej wanita Islam bertudung.

Bagaimanapun Neelofa mempertahankan tindakannya.

Menurut pelakon dan pengacara popular itu, kelab itu dipilih kerana mengambil kira kesesuaian bajet dan tema acara berkenaan.

Sementara itu, personaliti Youtube Nisa Kay turut menerima kecaman banyak pihak apabila dilihat menari ghairah pada majlis tersebut.

Nisa bagaimanapun mengakui kesilapannya dan mengatakan aksi itu tidak menggambarkan perilaku sebenar beliau.

Antara yang tampil membuat teguran ialah Mufti Wilayah persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad yang menulis surat terbuka buat Neelofa semalam.

Antara lain beliau mengingatkan pemakaian tudung adalah simbol bagi sifat malu seorang wanita dan akhlak Muslimah yang perlu dipelihara.

Dr Zulkifli bagaimanapun mengingatkan umat Islam supaya menghindarkan diri daripada fitnah dan membuka aib orang lain.

Lihat Komen
ADS