Izreen dicaci kerana suami mahu cerai isteri pertama
Penceraian yang dikatakan bakal berlaku antara Muhammad Radzi Abdul Wahid dengan isteri pertamanya, Intan Liana Saleh mengundang kecaman terhadap aktress Izreen Azminda yang juga isteri kedua kepada pemuzik bebas itu.
Mstar Online melaporkan menerusi instagram portal itu, lebih 1,000 komen netizen meluahkan rasa marah terhadap Izreen yang dikatakan punca Muhammad Radzi atau lebih dikenali sebagai Ude menceraikan Intan.
Netizen bertindak demikian selepas Izreen menutup ruangan komen pada laman sosialnya sejak mendedahkan perkahwinan dengan Ude pada November lalu.
Mereka turut menyatakan simpati terhadap nasib malang menimpa Intan dan dua anaknya, lebih-lebih lagi apabila wanita itu kini tidak bekerja dan tiada kenderaan untuk bergerak ke mana-mana.
Turut menambah rasa pilu netizen melihat dua anak Intan dan Ude yang masih kecil dan tidak tahu apakah makna perpisahan ibu bapa mereka.
Selain itu netizen turut mengecam Ude yang disifatkan sebagai lelaki tidak bertanggungjawab walaupun Intan sudah bersetuju untuk hidup bermadu.
Izreen sebelum ini mendedahkan dia berkahwin dengan Ude pada 8 Ogos tahun lalu.
Sementara itu, dalam kenyataan kepada portal Berita Harian pada Rabu Izreen berkata dia tidak mencampuri urusan perceraian suaminya itu dengan Intan.
Kata Izreen, Ude tidak berkongsi masalah rumah tangga yang dihadapinya dengan isteri pertama itu.
"Jujurnya, ada kala saya tidak tahu apa masalah mereka. Saya tidak pernah bertanya, bergaduh atau apa saja berkaitan dengan rumah tangganya bersama Intan.
"Sudah menjadi prinsip hidup kami, apabila pulang ke rumah saya, hanya hal rumah tangga kami dibincangkan. Saya sedar kedudukan saya sebagai isteri kedua, jadi lebih baik saya tidak ambil tahu," ujarnya.
Ude juga dilaporkan mendakwa perpisahan mereka merupakan jalan terbaik kerana sudah tiada hati untuk meneruskan kehidupan bersama Intan.
Ude, 30, memfailkan permohonan berkenaan terhadap Intan pada 30 November 2017. Pasangan itu berkahwin pada 1 Mac 2013 dan dikurniakan dua orang anak iaitu Arish Muqri, 3, serta Ariq Muqri, 1.

