Paling Popular
Terkini

ULASAN BUKU | Antara ciri buku yang baik ialah ia menyajikan bukan saja kandungan yang berilmu, tapi disekalikan dengan pakej kulit depan yang cerdik.

Untuk makluman, ada perbezaan antara cantik dan cerdik. Sesuatu reka bentuk kulit buku yang cerdik tidak semestinya "cantik" dalam erti kata indah dan seakan-akan sempurna. Sebaliknya rekaan yang cantik tidak semestinya cerdik.

Kadang-kadang ada syarikat penerbitan yang cenderung menampilkan buku mereka secara cantik namun amatlah bendul.

Maka persepsi awal Pinjamkan Dia Sebentar ini adalah cerdik. Jika mengikut mazhab 'bendul' buku ini mungkin menampilkan apa-apa imej yang boleh menampakkan mesej "pinjam".

Mungkin gambar borang pinjaman digabungkan dengan jam. Maklumlah, di sana ada kata "sebentar".

Syukur yang amat sangat Pinjamkan Dia Sebentar ini jauh lebih cerdik berbanding gaya persembahan sesetengah penerbit itu.

Sarat pengalaman ibu bapa

Pinjamkan Dia Sebentar adalah naskhah untuk berkisah tentang hidup keluarga yang membesarkan anak istimewa. Mengiringi judulnya ialah pernyataan bahawa buku ini sebuah antologi cerpen.

Namun cerpen dalam erti biasa yang kita faham hanya ada dua dalam naskhah ini, masing-masing diletakkan pada awal dan akhir buku.

Cerpen itu berjudul Mencari Adiwira oleh Salina Ibrahim dan Nanang (Samsiah Mohd Nor). Tunasirah (Zulkifli Khair) yang diletak di bahagian tengah pula mungkin boleh juga digolongkan seperti dua judul yang disebutkan sebentar tadi.

Selebihnya adalah catatan demi catatan mengenai cabaran ibu atau bapa membesarkan anak istimewa - atau dikenali juga dengan istilah orang kelainan upaya atau orang kurang upaya (OKU).

Dengan sifatnya sekadar catatan, nilai seni yang diharapkan ada pada sesebuah 'cerpen' kurang dirasai pada karya yang terkandung dalam Pinjamkan Dia Sebentar ini.

Sesekali timbul juga sedikit rasa jemu, terutama apabila sebahagian kisah yang dipersembahkan terasa berulang-ulang antara satu cerita dengan cerita lain. Ia dapat difahami kerana penulisnya adalah berbeza tetapi - atas keterbatasan keadaan dan kemudahan yang ada di negara ini - melalui proses yang sama.

Mereka dikurniakan anak istimewa. Tanpa pilihan anak itu harus dibesarkan dan diberi rawatan atau cuba dipulihkan sebaik yang termampu.

Dalam proses itulah mereka bertemu pusat pemulihan, jurupulih atau pakar terapi yang kadang-kadang adalah individu sama.

Indah khabar dari rupa

Misalnya Pusat Terapi Sham yang terletak di Plaza Pekeliling di Kuala Lumpur atau Kak Raw di Felda Gedangsa, Pahang.

Namun itu bukanlah apa-apa sangat. Mesej yang lebih besar disampaikan melalui Pinjamkan Dia Sebentar ialah bagaimana kerajaan negara ini melayan anak istimewa atau OKU.

Saya berpendapat rungutan yang dipaparkan dalam antologi cerpen ini begitu lunak dan mungkin baru 20 peratus menggambarkan kekecewaan ibu bapa membesarkan anak istimewa.

Dasar, janji, kemudahan dan kelebihan yang diberikan kepada anak istimewa, OKU atau ibu bapa yang membesarkan mereka memang sentiasa nampak lunak, atau amat mendamaikan jika didengar.

Apatah lagi jika ia didendangkan semasa pembentangan belanjawan. Segala-galanya adalah seindah pelangi. Ulang: pe-la-ngi. Sesuai dengan sifat pelangi, ia cuma sedap pada mata tetapi tidak tergapai waima hujung jari pun.


Baca Dr M: Doktor disiasat, menteri mewah terlepas


Samalah juga dengan kelebihan, keutamaan atau pengecualian untuk ibu bapa yang membesarkan anak-anak istimewa atau OKU.

Setahun sekali mereka akan mengisi borang Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengisytiharkan pendapatan. Di sana ada rebat itu dan ini jika seseorang itu memiliki anak OKU.

Ia memang suatu yang meringankan beban. Misalnya kos rawatan untuk anak OKU diizinkan dipotong daripada nilai pendapatan yang dicukai kerajaan.

Sehinggalah apabila ada pegawai LHDN yang ramah menghubungi kemudian untuk membuat semakan dan memberitahu bahawa rebat itu bukanlah seperti yang kita sangka. Ada banyak syarat yang ditetapkan.

Dan ia mungkin berakhir dengan ibu atau bapa terbabit terpaksa membuat bayaran semula kepada LHDN.

Luar negara yang manusiawi

Sebab itu saya menggalakkan anda membaca Pinjamkan Dia Sebentar. Ia bukan saja berkisah mengenai jerihnya membesarkan anak OKU di negara ini, sebaliknya naskhah ini turut memberitahu, di negara Barat kerajaannya sangatlah mengambil berat nasib orang kelainan upaya ini walaupun mereka tidak pernah lagi menguar-uarkan kerajaan berkebajikan, misalnya.

Ia dikisahkan dengan baik oleh Nur Azura Mohd Faiz melalui catatannya yang berjudul Terapi Diri Di Baitullah, Asmin Khassim (Sedingin Salju Yang Berguguran) dan Hasan Suyut (Anugerah Teristimewa).

Ia juga ada disentuh sedikit oleh Hamdan Mohd Salleh (Inspirasi Syurga) yang bercerita mengenai keadaan di Brunei.

Pinjamkan Dia Sebentar juga akan memberitahu anda bahawa bantuan kewangan bulanan yang diterima anak istimewa atau OKU daripada kerajaan sekadar membantu seadanya saja.


Baca Kaabil: Tunduk atau bangkit melawan


Bukan tidak mahu mengenang budi namun nilai perbelanjaan untuk mengurus golongan seumpama itu sebenarnya jauh lebih tinggi berbanding nilai bantuan tersebut.

Yang Teristimewa Dan Yang Terpinggir oleh Mohamad Kholid Hamzah pula menegaskan - untuk kali entah ke berapa - bagaimana nilai kemanusiaan selalu sangat terpaksa 'berperang' dengan prejudis manusia.

Kisah itu yang disampaikan dengan lancar dan baik juga berpesan: kemanusiaan itu tidak ditentukan oleh warna kulit, bangsa, agama atau seumpamanya.

Cuma Pinjamkan Dia Sebentar bukanlah naskhah yang sempurna.

Ia banyak berkisah mengenai anak yang mengalami cerebral palsy ketika ada bermacam masalah turut dialami untuk pelbagai masalah lain.

Pemilihan font (jenis huruf) pada teks buku ini dirasakan tidak sesuai dan mengganggu pembacaan. Ada banyak font lain yang lebih sesuai boleh digunakan sepatutnya.

Di sana sini ada juga kecacatan bahasa yang tidak ketara dan boleh dimaafkan jika menilai kepada kisah yang disampaikan.

Penulis lain yang melengkapkan antologi ini ialah Afidah Ayob yang menghasilkan Anak Benderang, Noorhayati Mohd Dahlan (Teruslah Bersinar Bintang Hatiku), Saripah Bakar (Hakikat Kehidupan), Siti Suhaila Samian (Pinjamkan Dia Sebentar), Siti Aishah (Tiga Belahan Jiwa), Segufta Yasmi Abdul Rahman (Syukur Itu Bahagia), Zuraidah Kadirun (Terbanglah Cenderawasihku) dan Mazni Sahabudin (Ujian Tuhan).

  • Judul: Pinjamkan Dia Sebentar
  • Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka (2017)
  • Editor: Mohamad Kholid Hamzah
  • Tebal: 327 halaman
  • Harga: RM20
Lihat Komen
ADS