Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Suami Ziana Zain didakwa cederakan anak
Diterbitkan:  Mar 6, 2018 2:38 PM
Dikemaskini: 6:40 AM

Suami Ziana Zain berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun jika disabitkan kesalahan mencederakan anak lelaki mereka.

Armin Zaharin Ahmad Zambri didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini atas tuduhan melakukan kesalahan itu pada 25 Februari lalu, lapor Berita Harian.

Bagaimanapun, penganggur 53 tahun itu mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin.

Mengikut pertuduhan, suami kepada penyanyi terkenal itu didakwa menyebabkan anak mereka mengalami kecederaan luka dan lebam dengan menggunakan rotan.

Amir melakukan perbuatan terbabit di rumahnya di Denai Alam pada jam 4 pagi.

Dia didakwa mengikut Sesyen 324 Kanun Keseksaan Kerana mendatangkan kecederaan yang pada masa sama turut memperuntukkan denda atau sebat atau dua dari mana-mana hukuman itu.

Ziana, penyanyi Menadah Gerimis itu bagaimanapun tidak hadir pada prosiding mahkamah hari ini.

Armin ketika membuat rayuan berkata perbuatan itu dilakukan bertujuan mengajar anaknya untuk mengaji dan bersolat.

"Saya tidak dera anak. Saya ajar dia mengaji dan solat, tetapi dia tidak faham dan bebal.

"Saya bertanggungjawab terhadap empat anak selain mempunyai emak yang sakit dan perlu menghantarnya ke hospital," beliau dipetik sebagai berkata.

Hakim kemudian menurunkan jumlah jaminan daripada 10,000 kepada RM5,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, bekas pramugara itu tidak mempunyai penjamin.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Megat Mahathir Megat Tharif Afendi dan akan disebut semula 4 April depan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Ziana sendiri pada 27 Februari lalu membuat laporan polis dan Armin kemudian ditahan pada Jumaat lalu.

Armin dan Ziana mendirikan rumah tangga pada tahun 1998. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Muhammad Aiman, 19, Muhammad Ammar, 14, serta pasangan kembar Muhammad Ariel dan Siti Nur Kaseh, 9.

Lihat Komen
ADS