Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Seni & Hiburan
Dua Lipa diejek panggil bapa 'babi'
Diterbitkan:  Mar 7, 2018 4:32 PM
Dikemaskini: 6:05 PM

Pengaruh netizen Malaysia ternyata bukan calang-calang hinggakan penyanyi antarabangsa Dua Lipa pun mengalah dan menukar kapsyen "babi" yang mengiringi gambar bapanya di Instagram.

Dalam bahasa Albania - negara kelahiran ibu bapanya - "babi" membawa maksud ayah dan tentulah semua tahu konotasi perkataan itu di Malaysia.

"Selamat hari lahir babi. Sayang dan rindu anda, kalaulah saya berada di rumah untuk memeluk dan mencium anda," katanya di Instagram semalam.

Posting itu pantas menjadi bahan sindiran dan ejekan pengikutnya di negara ini tanpa mengambil kira terdapat lebih lima ribu bahasa di dunia ini.

"Selamat hari lahir babi," ejekan yang diulang-ulang pengikut Dua Lipa.

Ada juga yang mengambil inisiatif menjelaskan ejekan itu kepadanya. "Babi bermaksud khinzir dalam bahasa Melayu," kata pengguna akaun Fazrul_haizal634.

Ekoran itu penyanyi berusia 22 tahun menukar perkataan tersebut dengan "dad" (bapa) yang lebih umum.

Maaf untuk Malaysia

Namun tidak kurang juga yang tidak setuju dia mengikut saja kehendak netizen dan meminta maaf bagi pihak Malaysia.

"Anda tidak sepatutnya tukar kapsyen itu," kata pemilik akaun Morinovicah.

"Maaf bagi pihak rakyat Malaysia yang membuat komen bodoh. Mereka tidak terdedah dengan dunia luar dan tidak tahu ada ribuan bahasa di dunia ini. Bahkan ramai yang tidak tahu di Malaysia sendiri ada beratus bahasa dan dialek berbeza," kata pemilik akaun Amirsyafiq15.

Dua Lipa bakal mengadakan konsert sulung di Kuala Lumpur tidak lama lagi iaitu pada 5 Mei nanti selepas beraksi di Festival Good Vibes di Genting Highlands Ogos lalu.

Malaysia menjadi salah satu destinasi bagi siri jelajah Self-Titled sebagai promosi kepada albumnya, bertajuk Dua Lipa yang terbit tahun lalu.

Dia mula menempa apabila singlenya New Rules tahun lalu mendapat sambutan ramai dan menduduki tangga pertama dalam carta di United Kingdom.

Hasil daripada kejayaan itu dia memenangi anugerah dalam kategori penyanyi solo wanita dan artis baru cemerlang (breakthrough) di Anugerah BRIT tahun ini.

Lihat Komen
ADS